Pengajaran
Bahasa Melayu Berbantukan Komputer Dipandang Sebelah Mata Dalam Kalangan Guru
Oleh
: Mohd Saiful Othman
Pengajaran bahasa dengan
menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian
dengan keperluan pendidikan masa kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran
bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran
bahasa pelajar. Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al.
(2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu
dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah
dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong
pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik dan
meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Persoalannya
ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran (PdP) menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan
yang dihadapi. Pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
mendatangkan manfaat dan impak yang besar terhadap PdP Bahasa Melayu di sekolah
rendah. Namun, terdapat pelbagai masalah yang menjadi kekangan bagi
memanipulasikan teknologi ini.
Sistem pendidikan masa kini banyak terdedah kepada
penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam segala hal. Begitu juga
bahasa Melayu, proses PdP Bahasa Melayu juga amat penting digarapkan dengan
penggunaan TMK dalam pelaksanaannya. Namun, PdP Bahasa Melayu boleh dikatakan
tidak sepenuhnya berjaya menggunakan TMK. Terdapat banyak punca atau sebab-sebab
yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer. Punca pertama
ialah guru bahasa Melayu tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran
berbantukan komputer. Suwarnee (2006), Ros Azura (2004), Hamzah (2004) secara
umumnya mereka mendapati bahawa tahap pengetahuan dan kepakaran guru-guru Bahasa
Melayu masih berada di tahap sederhana. Dalam hal ini, ada sesetengah guru
Bahasa Melayu tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mendalam bagaimana
hendak menggunakan TMK seperti intemet, laman web, komputer, bagaimana hendak
mengakses laman-laman web yang boleh dijadikan bahan bantu mengajarnya dan sebagainya.
Kebanyakan guru mengajar banyak bercakap dan memberikan latihan kepada murid.
Kaedah yang sering digunapakai oleh guru-guru ialah menulis di papan hitam dan
meminta murid untuk menyalin. Guru berasa cara ini atau cara biasa lebih mudah
dan tidak memerlukan banyak perancangan teliti. Guru-guru Bahasa Melayu yang
tidak mahir menggunakan komputer ini juga adalah kerana mereka tidak pernah
melakukan kerja-kerja dengan menggunakan komputer. Mereka menganggap untuk
mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer amat merumitkan. Mereka juga
menganggap Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang tidak sesuai diajar
menggunakan komputer. Pada mereka atau guru-guru Bahasa Melayu ini mengajar
secara lisan lebih sesuai dan mudah untuk menyampaikan sesuatu fakta atau isi
pelajaran. Menurut guru-guru, dalam Bahasa Melayu murid-murid perlu menguasai
kemahiran mengarang. Justeru, murid perlu diajar secara biasa dan perlu
menggunakan pensil dan kertas selalu untuk meningkatkan kemahiran mengarang
mereka. Jadi, guru tersebut merasakan bahawa hanya subjek komputer sesuai dan
harus menggunakan komputer dalam pengajarannya. Guru-guru bahasa Melayu yang
kurang mahir komputer ini juga kerana mereka ini kurang terdedah kepada
penggunaan komputer. Hal ini juga kerana guru-guru ini tidak memiliki komputer
sendiri. Sebagai guru, mereka seharusnya mempunyai komputer sendiri. Mereka
harus kuasai atau ikuti kecanggihan zaman moden ini. Hal ini penting supaya
semua guru tidak ketinggalan oleh arus zaman. Sememangnya, komputer amat
penting untuk mencari bahan dan penggunaannya akan memudahkan sesuatu bahan
diperolehi. Banyak sumber dalam internet yang boleh membantu guru mendapatkan
sebarang bahan atau maklumat penting. Guru merupakan insan berilmu. Jadi,
mereka perlu melakukan pembacaan pada setiap masa. Salah satunya cara adalah
menerusi penggunaan komputer. Apabila guru sudah terbiasa dan kerap menggunakan
komputer, guru akan mahir menggunakannya. Bukan itu sahaja, guru juga akan
mahir dan pandai menggunakan setiap perisian yang ada di dalam komputer. Dengan
kemahiran yang ada ini, guru boleh mengajar menggunakan komputer. Dengan menggunakan
komputer semasa mengajar Bahasa Melayu, guru dapat menarik perhatian murid
dengan lebih baik. Selain itu, guru juga dapat melakukan banyak aktiviti dalam
pengajarannya. Tidak dinafikan bahawa dengan menggunakan komputer untuk mengajar
akan menggalakkan guru menjadi sangat kreatif dan disukai oleh murid-murid. Murid-murid
sudah pasti akan menyanjung guru tersebut dek kerana PdP yang dijalankan sangat
menyeronokkan dengan berbantukan komputer. Hakikatnya, pada hari ini guru Bahasa
Melayu tidak mahir komputer dan tidak dapat menggunakannya semasa mengajar. Kurangnya
kemahiran guru dalam bidang TMK ini akan memberi kesan kepada murid-murid
terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Murid-murid ini terpaksa belajar
dengan cara lama oleh kerana gurunya tidak pandai mengajar menggunakan komputer
sedangkan subjek Bahasa Melayu dapat diajar dengan menggunakan komputer dan
pembelajaran dengan menggunakan komputer ini jauh lebih menark daripada
pembelajaran secara manual atau biasa ini. Contohnya, guru ingin mengajar
karangan pada hari itu. Jadi, guru boleh meminta murid mengakses internet dan
mencari contoh-contoh karangan sebagai panduan kepada mereka tanpa perlu merujuk
buku teks setiap masa. Selain itu, terdapat ramai guru-guru lama yang mengajar
Bahasa Melayu di sekolah. Mereka-mereka ini boleh dikatakan tidak tahu
menggunakan komputer oleh kerana zaman mereka dahulu sangat kurang pendedahan
mengenai bidang ICT ini. Generasi yang lahir sebelum era 1970-an dikatakan
kurang cekap mengendalikan peralatan-peralatan ICT. Hal ini sangat berbeza
dengan generasi selepas era 1990-an yang cekap dan berpengetahuan luas dalam
hal penggunaan ICT. Masih terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer
untuk memasukkan data atau masih terkial-kial untuk menaip surat menggunakan
Microsoft Word. Apabila guru yang tidak cekap menggunakan peralatan ICT seperti
pemancar LCD dan laptop, perkara ini akan menimbulkan masalah. Kelemahan
sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan ICT dalam
pengajaran dan pembelajaran terbantut. Pembaharuan ini dirasakan sebagai satu
beban bagi golongan guru ini. Mereka tiada kepakaran untuk menggunakan
peralatan ICT yang kemudiannya dijadikan alasan mengganggu dan mengambil masa
pengajaran. Ini menyebabkan golongan ini meneruskan cara lama dan membantutkan
perkembangan pendidikan negara. Dapat dibuat kesimpulan bahawa guru-guru lama
ini akan meneruskan pengajaran mereka dengan cara yang lama oleh kerana bagi
mereka agar sukar untuk mempelajari ICT dengan tahap umur sekarang ini
lebih-lebih lagi guru yang hampir bersara. Oleh itu, guru-guru muda dan masih
segar ini tidak boleh memberikan alasan tidak tahu menggunakan komputer kerana
mereka mempunyai banyak masa untuk belajar komputer. Kesimpulannya, salah satu
punca guru bahasa Melayu tidak mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya adalah
kerana tidak mahir menggunakan komputer.
Punca kedua yang menghalang guru bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah banyak masa diperlukan untuk mengajar Bahasa Melayu
menggunakan komputer. Banyak masa perlu dihabiskan dalam menyediakan bahan
untuk PdP Bahasa Melayu sekiranya menggunakan komputer. Sebagaimana yang
diketahui, tugas guru kini bukan hanya mengajar, tetapi perlu menghadiri banyak
mesyuarat, program, kursus dan sebagainya. Untuk mengajar Bahasa Melayu
menggunakan komputer, guru perlu teliti dan membuat perancangan yang baik. Hal
ini penting agar aktiviti yang dibuat berkesan, menarik dan yang lebih penting
objektif PdP tercapai. Dalam mengaplikasikan TMK dalam pengajaran, guru perlu
memilih perisian yang sesuai untuk digunakan dalam pengajaran. Contohnya,
Microsoft Office Word amat sesuai digunakan untuk mengajar murid menaip seperti
membuat esei atau karangan. Selain itu, perisian lain seperti Power Point dapat
juga guru gunakan untuk mengajar seperti meminta murid membuat penerangan dan
pembentangan di dalam kelas. Untuk mengaplikasikan ini, guru perlu merancang
terlebih awal. Guru perlu mencari maklumat terlebih dahulu untuk ditunjukkan
kepada murid. Tambahan lagi, guru harus meneroka terlebih dahulu sesuatu
perisian sebelum meminta murid melakukannya. Misalnya, cara mencari bahan
menggunakan enjin pencari. Guru perlu mengenal pasti laman web yang sesuai
untuk dilawati yang berkaitan dengan isi pelajaran. Contohnya, untuk memudahkan
murid mencari sesuatu maksud dalam internet, guru boleh perkenalkan kepada
murid lawan web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Sebelum itu, guru itu
sendiri perlu tahu menggunakan atau memasuki laman web ini. Dengan adanya laman
web khas untuk pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat belajar dengan mudah.
Contoh lain seperti guru ingin mengajar murid memuat turun sesuatu bahan
daripada internet. Dalam hal ini, guru juga perlu meluangkan masa belajar
langkah-langkah untuk memuat turun bahan terlebih dahulu sebelum meminta murid
melakukannya. Amat penting untuk seseorang guru itu mahir dalam teknik ini
sebelum melakukannya di dalam kelas. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat guru
yang kurang mahir dan masih dalam proses pembelajaran. Hal ini sudah tentu akan
memerlukan banyak masa untuk menyediakan bahan atau merancang aktiviti kepada
murid. Untuk mengaplikasikan secara berkesan, guru perlu mengambil masa iaitu
dengan menyediakannya atau menerokainya terlebih awal sebelum mengajar. Hal ini
kerana sekiranya guru tersilap atau kekok menggunakan perisian komputer semasa
mengajar akan memalukan diri guru
tersebut di depan murid. Sebenarnya, kandungan bahan TMK berkaitan pelajaran
bahasa Melayu amat terbatas. Jadi, guru perlu menghabiskan banyak masa bagi
mencari dan meneliti bahan dan perisian yang sesuai untuk murid belajar. Mohd
Arif, Rosnaini dan Zainuddin (2007), menyatakan bahawa kini terdapat banyak
laman web yang dibina dan ditulis dalam Bahasa Melayu dalam internet. Bagi
laman web yang berkaitan pendidikan, sudah tentu ia sesuai dijadikan bahan
P&P bagi guru-guru Bahasa Melayu. Namun begitu, tidak semua bahan yang
terdapat dalam internet, laman web dan lain-lain sesuai dengan kurikulum
sesuatu mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini sudah tentu menyukarkan guru-guru
Bahasa Melayu untuk mengetengahkan bahan-bahan yang sesuai untuk pendidikan
Bahasa Melayu kepada murid-muridnya. Ini secara tidak langsung membataskan
pengetahuan murid tentang mempelajari bahasa menggunakan teknologi seperti intemet.
Di samping itu, bahan-bahan yang terdapat dalam TMK lebih kepada cita rasa,
budaya dan norma-norma masyarakat Barat yang kurang sesuai untuk pendidikan
para pelajar. Justeru, guru Bahasa Melayu perlu mengenal pasti dan
mengubahsuaikan kandungan kurikulum bahan yang diambil dari intemet, laman web
dan lain-lain mengikut budaya masyarakat Malaysia. Guru juga beranggapan merugikan
masa dengan mengajar Bahasa Melayu berbantukan komputer kerana banyak masa
dihabiskan dalam menyediakan perkakas komputer sebelum mengajar. Hal ini
berlaku sekiranya pembelajaran tidak dapat dijalankan di dalam bilik komputer.
Maka, guru harus menggunakan komputer sendiri. Dalam hal ini, sebelum mengajar,
guru perlu memasang LCD dan mengambil masa untuk membuka komputer. Hal ini memakan
masa dan masa mengajar guru akan berkurang. Lebih malang lagi sekiranya berlaku
masalah semasa memasang alat-alat komputer seperti LCD tidak berfungsi dengan
baik. Hal ini bukan memberi kesan kepada guru, tetapi akan menjejaskan minat
murid dek kerana terpaksa menunggu lama untuk belajar. Jadi, semangat belajar
mereka akan hilang. Kesimpulannya, guru-guru Bahasa Melayu tidak mahu
mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya adalah disebabkan mereka tidak sanggup
menghabiskan masa yang lama dalam menyediakan bahan PdP kepada murid.
Lebih-lebih lagi sesuatu perisian itu agak sukar untuk digunakan dan mereka
takut banyak masa dihabiskan dan tidak dapat melakukan tugas-tugas lain.
Punca ketiga yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan TMK ialah pelajar kurang berminat menggunakan komputer dalam
pengajan Bahasa Melayu. Kebanyakan murid sekolah tidak tahu menggunakan
komputer. Hal ini banyak berlaku kepada murid-murid luar bandar dan dari
kampung. Mereka tidak tahu menggunakan komputer kerana mereka tidak pernah
menggunakannya di rumah. Oleh itu, mereka menganggap komputer sangat asing
sedangkan komputer penting dengan keperluan masa kini. Murid-murid yang tidak
tahu menggunakan komputer ini berasa takut untuk menggunakan komputer semasa
belajar. Mereka sebenarnya takut akan komputer rosak sekiranya digunakan atau
disentuh. Murid-murid ini yang tidak berminat dengan komputer juga adalah
kerana mereka malu dengan rakan-rakan disebabkan mereka tidak tahu serta tidak
mengenali alat-alat komputer. Ini menyebabkan mereka manjadi kurang berminat
menggunakan komputer. Guru akan berasa beban kerana murid kurang aktif
menggunakan komputer. Guru terpaksa menbambil masa yang lama sebelum mengajar
iaitu guru perlu mengajar murid menggunakan komputer terlebih dahulu supaya
mereka dapat melakukan apa yang disuruh guru. Dengan ini, guru tidak boleh
mengajar isi pelajaran lagi tetapi perlu mengajar cara menggunakan komputer
terlebih dahulu kepada murid. Hal ini akan menyebabkan sukatan pelajaran sukar
untuk dihabiskan mengikut perancangan. Perkara ini akan menyebabkan guru-guru Bahasa
Melayu menjadi tertekan dan lama-lama akan kurang menggunakan TMK dalam
pengajarannya dan akhirnya kembali kepada cara mengajar yang lama. Sekiranya
guru menggunakan komputer dan murid berminat, banyak aktiviti menarik yang
dapat dijalankan. Contohnya, guru boleh mengadakan soalan interaktif bersama
murid. Guru meminta murid datang ke hadapan dan klik pada jawapan yang betul.
Apabila murid tidak tahu dan kurang berminat, mereka akan malu untuk datang ke
hadapan kelas dan menggunakan komputer untuk selesaikan aktiviti tersebut. PdP
Bahasa Melayu akan terganggu dengan sikap murid sebegini. Segala aktiviti yang
guru rancang tidak akan berjaya dan berjalan lancar. Faktor latar belakang
keluarga dan persekitaran amat mempengaruhi keadaan ini. Sekiranya mengajar di
bandar, kebanyakan murid suka komputer. Hal ini kerana mereka sering terdedah
di mana ibu bapa mereka mempunyai komputer di rumah. Keadaan ini berbeza denga
murid-murid luar bandar, ibu bapa mereka tidak mampu membeli komputer. Hal ini
menyebabkan murid ketinggalan dalam era teknologi maklumat. Situasi murid
sebegini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti PdP Bahasa Melayu berbantukan
komputer dengan berkesan. Guru perlu bersabar dan melatih murid sedikit demi
sedikit agar murid-murid ini terbiasa dan terdedah dengan komputer. Hal ini
sememangnya dapat menarik minat mereka. Kesimpulannya, guru Bahasa Melayu tidak
dapat mengaplikasikan pengajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan TMK kerana
terdapat murid-murid yang tidak berminat dengan komputer. Segala yang guru
rancang menjadi sia-sia kerana tidak dapat dilaksanakan. Guru-guru tidak boleh
berputus ada dengan murid-murid ini tetapi mereka harus memberikan kesedaran
kepada murid dengan membantu mereka memberi tunjuk ajar dan cara menggunakan
komputer. Semangat guru seperti ini amat penting kerana guru bertindak sebagai
pembimbing dan fasilitator kepada murid.
Punca keempat yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan TMK ialah keadaan komputer yang tidak sempurna. Sebagaimana yang
diketahui, penggunanan komputer dalam mengajarkan setiap subjek amat berkesan
dan menarik. Sekiranya guru tahu kebaikan penggunaan komputer, guru akan
mengaplikasikannya setiap masa. Bagi sesetengah sekolah di bandar, kebanyakan
guru mengajar menggunakan TMK termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Apa yang
dilihat kini, setiap sekolah telah dibekalkan dengan banyak komputer untuk
kegunaan guru dan murid. Namun, komputer-komputer tersebut tidak semuanya dapat
digunakan. Komputer-komputer di sekolah sering rosak. Guru akan membawa semua
murid ke bilik komputer untuk mengajar bahasa Melayu dan memastikan semua murid
dapat menggunakan komputer sekolah. Apabila terdapat komputer yang rosak,
beberapa orang murid tidak dapat menggunakannya dan terpaksa berkongsi dengan
rakan yang lain. Hal ini menyebabkan murid tidak selesa untuk belajar dan akan
mengakibatkan murid kurang faham pengajaran guru. Murid-murid juga tidak dapat
menumpukan perhatian sepenuhnya kerana berkongsi komputer dengan rakan. Hal ini
menyebabkan beberapa orang murid tidak dapat melakukannya sendiri dan hanya
memerhati rakannya menggunakan komputer dan melakukan kerja yang disuruh oleh
guru. Sememangnya, pengajaran guru pada hari tersebut tidak dapat berjalan
lancar kerana murid tidak dapat menggunakan komputer secara individu.
Sememangnya, malang tidak berbau. Jadi, penjagaan yang rapi terhadap komputer
perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Salah satu sebab komputer di sekolah
sering rosak kerana sistem penyelenggaraan komputer yang tidak cekap oleh pihak
sekolah. Seharusnya komputer perlu kerap diselenggara. Hal ini amat penting
supaya komputer sentiasa dalam keadaan baik dan murid dapat memanfaatkannya.
Situasi ini turut menunjukkan bahawa pihak sekolah kurang memberi perhatian
kepada penjagaan bilik komputer. Mereka tidak peka terhadap kepentingan aset
sekolah. Komputer yang rosak hanya dibiarkan. Seharusnya komputer yang rosak
ini dibaiki atau diganti dengan yang baru. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu
mengarah pihak berkenan untuk melakukan selenggaraan terhadap komputer sekolah.
Dilihat juga kebanyakan komputer di sekolah agak ketinggalan dari segi kapasiti
dan teknologi. Komputer-komputer yang ada hanyalah komputer lama dan tidak
mempunyai perisian terkini. Kesimpulannya, komputer sekolah yang sering rosak
akan mengalang guru Bahasa Melayu untuk mengajar murid dengan menggunakan
komputer. Guru-guru amat berharap untuk menggunakan komputer sekolah bagi
mengajar murid dengan lebih baik. Kerosakan komputer yang berlaku akan
menghalang guru untuk mengajar menggunakan komputer.
Punca kelima yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah masalah bilik komputer. Sudah terang lagi bersuluh,
kecanggihan teknologi pada masa kini sudah meliputi semua bidang tidak terlepas
bidang pendidikan. Justeru, pihak kerajaan amat menitikberatkan penguasaan TMK dalam
kalangan guru dan murid. Buktinya, penyerahan Netbook 1Malaysia oleh kerajaan
kepada pelajar-pelajar pada tahun 2011. Di sekolah pula, boleh dikatakan hampir
semua sekolah telah dibekalkan dengan satu bilik komputer yang tujuannya supaya
murid dapat belajar menggunakan TMK dalam PdP. Guru Bahasa Melayu yang kreatif
dan gemar menggunakan TMK dalam pengajarannya akan membawa murid-muridnya belajar
di dalam bilik komputer. Menjadi masalah ialah bilik komputer tidak mencukupi.
Guru-guru berebut untuk masuk ke dalam bilik tersebut. Sekiranya terlewat
sedikit, guru Bahasa Melayu tidak dapat menggunakan bilik komputer disebabkan digunakan
oleh guru-guru lain. Oleh itu, guru perlu mengajar semula di dalam kelas.
Kebanyakan guru berasa subjek seperti Bahasa Melayu kurang sesuai diajar
menggunakan komputer. Jadi, mereka mengetepikan guru Bahasa Melayu dan
mengutamakan subjek lain seperti sains untuk masuk dalam bilik komputer.
Sekiranya hal ini sering berlaku, guru Bahasa Melayu akan berasa tertekan dan
lama-kelamaan tidak berminat lagi untuk masuk bilik komputer dan menyediakan
pengajaran yang biasa serta hanya berlaku di dalam kelas. Kadang kala
sesetengah guru bersikap dengki terhadap guru lain. Contohnya, guru Bahasa
Melayu selalu mengajar dalam bilik komputer. Jadi, dia berasa cemburu dan
membawa murid-muridnya lebih awal ke makmal atau bilik komputer. Hal ini
berlaku kerana bilik komputer lebih selesa untuk belajar disebabkan terdapat
hawa dingin. Selain itu, guru Bahasa Melayu tidak berpeluang untuk mengajar di
dalam bilik komputer kerana terdapat juga guru subjek lain yang setiap hari
membawa muridnya masuk ke bilik tersebut. Guru-guru tidak boleh berbuat seperti
itu. Guru seharusnya berlaku adil dan memberi peluang kepada guru-guru lain. Hal
ini kerana semua guru berhak untuk menggunakan bilik komputer. Menjadi masalah
sekarang di mana bila seseorang guru itu menggunakan bilik komputer setiap hari
untuk mengajar, guru bahasa Melayu yang telah merancang segalanya tidak dapat
melaksanakan segala aktiviti yang telah dirancang. Hal ini kerana pengajaran
memerlukan komputer sebagaimana yang telah dirancang pada awalnya. Jadi, guru
terpaksa menukar cara mengajar dan aktiviti yang lain. Guru terpaksa merancang
aktiviti baru yang sememangnya akan memakan masa. Justeru, pihak sekolah perlu
mengurus penggunaan bilik komputer oleh guru-guru dengan baik. Contohnya
membenarkan seseorang guru mengajar dalam bilik komputer hanya dua kali
seminggu. Guru-guru harus mematuhi peraturan dan prosedur ini. Kesimpulannya,
masalah penggunaan bilik komputer menjadi kekangan kepada guru untuk mengajar
menggunakan komputer.
Punca keenam yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah guru tidak bersedia hadapi perubahan. Konsep “cholk
and talk” telah serasi dengan insan yang bergelar guru. Mereka lebih selesa
mengajar dengan hanya bercakap di hadapan dan akhir sekali memberi latihan kepada
murid. Mereka menganggap teknik ini sangat berkesan dan mudah untuk murid
memahami pelajaran. Kebanyakan guru Bahasa Melayu mengejar pencapaian murid
dalam peperiksaan. Mereka hanya inginkan murid mendapat A dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu. Guru Bahasa Melayu mahu memastikan semua murid lulus dan mendapat
A dalam peperiksaan kerana Bahasa Melayu merupakan subjek teras dan wajib
lulus. Jadi, guru Bahasa Melayu mengajar dengan menumpukan terus kepada kemahiran-kemahiran
penting dalam Bahasa Melayu. Contohnya, guru mengajar karangan dan sentiasa
memberikan latihan kepada murid supaya mereka cekap menghasilkan karangan yang
baik. Guru juga memfokuskan kepada kemahiran ini kerana karangan merupakan
soalan wajib dalam peperiksaan. Jadi, mereka hendak memastikan murid-murid
mereka dapat menguasai aspek-aspek penting dalam sesuatu kemahiran. Bagi guru,
segala aspek yang disoal dalam peperiksaan murid mereka dapat menguasainya. Ini
merupakan tujuan mereka sebenarnya yang hanya mementingkan peperiksaan
semata-mata. Pada pandangan mereka, mengaplikasikan TMK akan mengganggu kefahaman
murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan menyukarkan kaedah mengajar. Hal
ini kerana banyak bahan atau perkara perlu disediakan sebelum mengajar dan
semasa mengajar. Guru Bahasa Melayu juga yakin bahawa PdP konvensional lebih
relevan dengan sistem peperiksaan. Dengan cara ini, murid hanya perlu
menumpukan kepada penerangan guru, melihat contoh di dalam buku teks dan
menyalin nota. Murid juga perlu menghafal sesuatu fakta yang bertujuan supaya
murid dapat mengingati sesuatu isi dan mudah untuk mereka menjawab soalan
peperiksaan. Bagi guru, sekiranya menggunakan komputer, murid perlu melakukan
banyak perkara untuk mempelajari sesuatu topik. Guru berasa TMK tidak sesuai
dengan subjek Bahasa Melayu. Hal ini kerana mereka mahu menjaga prestasi dan
pencapaian murid dalam peperiksaan. Keputusan peperiksaan murid agak memuaskan
dan kenapa pula perlu berubah? Guru mempersoalkan hal ini dengan mengatakan
bahawa mengapa perlu berubah lagi sedangkan cara pembelajaraan murid sudah baik
dan pencapaian juga baik. Sikap guru yang tidak mahu berubah kepada kebaikan
dan mengikuti arus pemodenan bagaikan katak di bawah tempurung. Mereka masih
mahu berada di takuk yang lama dengan cara yang lama. Selain itu, guru yang
tidak bersedia hadapi perubahan ini kerana guru berasa komputer merupakan alat
yang terlalu canggih. Mereka menganggap untuk menggunakannya memerlukan tahap
kemahiran yang tinggi dan hanya orang yang berkemahiran sahaja layak
menggunakannya. Apa yang ada dalam minda mereka ialah mengajar Bahasa Melayu
menggunakan komputer sangat susah dan kompleks. Pada mereka, belajar dengan
menggunakan komputer tidak sama dengan belajar cara biasa tanpa komputer. Guru
yang risau untuk mengubah cara mengajar ini sebenarnya takut murid mereka tidak
dapat mengikuti pengajarannya. Justeru, guru seharusnya, dapat berfikir di luar
kotak dan menerima perubahan.
Punca ketujuh yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah kerisauan guru dalam menggunakan komputer. Terdapat
guru Bahasa Melayu yang risau untuk menggunakan komputer bagi mengajar subjek
Bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan mereka tidak yakin dan kurang percaya akan
keberkesanan serta hasil PdP berbantukan komputer. Mereka ini tidak menyelami
dan mengikuti arus semasa. Terdapat guru yang risau untuk menggunakan komputer
semasa mengajar. Ada juga guru yang takut komputer akan rosak apabila disentuh.
Ini merupakan tanggapan yang salah. Sememangnya komputer akan rosak sekiranya
berlaku sesuatu yang terlalu serius di dalam sistemnya ataupun kita memasukkan
virus secara tidak sedar melalui ‘pendrive’. Guru yang takut untuk menggunakan
komputer dan menganggap komputer akan rosak apabila disentuh adalah guru yang
tidak pandai atau mahir menggunakan komputer. Sekiranya guru tahu
menggunakannya, guru dapat melakukan perkara atau menggunakannya untuk mengajar
dengan cara yang betul dan selamat. Dengan kurangnya kemahiran ini yang
membuatkan guru tersebut membuat andaian negatif tentang komputer. Komputer
amat mudah digunakan sekiranya kita tahu cara penggunaannya yang betul dan ia
tidak terlalu kompleks. Dengan rasa takut untuk menyentuh komputer, guru akan
menjauhkan diri daripada komputer dan tidak mahu menggunakannya untuk mengajar.
Selain itu, guru yang risau ini juga merasakan tidak berupaya mempelajari
teknologi tinggi. Sikap ini menunjukkan bahawa guru seperti ini amat gerun
dengan komputer. Mereka merasakan komputer terlalu hebat dan amat canggih dan
sukar untuk menggunakannya. Tanggapan guru seperti ini adalah salah kerana ilmu
TMK ini boleh dipelajari sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan guru dapat
menguasai setiap perisian dalam komputer. Sebetulnya, dalam menyampaikan
pengajaran tidak memerlukan guru untuk menggunakan perisian yang sukar.
Perisian yang boleh dan selalu digunakan seperti Microsoft Office Word, Power
Point dan penggunaan internet. Perisian ini amat mudah digunakan dan
pengaplikasian perisian ini dalam pengajaran sudah memadai. Guru merupakan
insan berilmu dan pakar dalam semua bidang. Jadi, guru perlu membuang tanggapan
yang salah dengan mengatakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi kerana
guru serba boleh. Sesetengah guru juga risau menggunakan komputer untuk
mengajar Bahasa Melayu kerana untuk mengelakkan daripada disuruh melakukan
sesuatu tugas yang memerlukan penggunaan TMK sekiranya mahir komputer. Mengapa
guru perlu berfikiran seperti ini? Sikap seperti ini tidak menunjukkan seorang
guru yang profesional. Kebanyakan guru masa kini mahir menggunakan TMK dan
kurang sahaja mengaplikasikannya dalam kelas. Salah satu alasannya ialah
perkara ini iaitu risau disuruh melakukan kerja-kerja menaip atau membina
sesuatu bahan menggunakan komputer. Sebenarnya, guru yang berfikiran dan
bersikap sebegini amat rugi dalam menjalankan tugasnya mengajar. Hal ini kerana
dia tidak sedar akan kepentingan mengajar menggunakan TMK seperti amat menarik
dan mendatangkan pelbagai kesan positif. Sekiranya guru mengetepikan rasa
kerisauan tersebut, guru dapat melibatkan murid secara aktif dalam kelas semasa
menggunakan TMK ketika mengajar. Aktiviti juga dapat dipelbagaikan dan lebih
penting lagi dapat menerapkan didik hibur seperti aktiviti nyanyian atau
tayangan video sebagai merangsang minda murid. Amat merugikan sekiranya guru
tidak menggunakan TMK dan risau memikirkan hal-hal negatif. Bukan itu sahaja
segala kemahiran yang guru ada berkaitan komputer menjadi sia-sia sekiranya
tidak digunakan dalam kelas. Penggunaan TMK ini akan menjadikan guru lebih
kreatif serta tahap dan cara pengajaran guru juga akan semakin berkembang dan
pelbagai. Jadi, guru harus elakkan berfikiran seperti itu yang terlalu risau
untuk menggunakan komputer. Guru harus tumpukan mengajar menggunakan komputer
kerana ia tidak rugi. Sekiranya pihak pentadbir dapat mengesan kebolehan guru
dan meminta melakukan sesuatu, guru harus melakukannya kerana dalam menjalankan
tugas sebagai guru, guru harus sentiasa bersedia dan tidak boleh mengatakan
tidak dalam segala hal.
Punca kelapan yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah pelajar menyalahgunakan komputer semasa PdP. Dalam
sesebuah kelas terdapat ramai murid. Contohnya, 40 orang atau lebih. Guru pula
hanya seorang dan perlu mengawal semua murid. Dengan mengaplikasikan TMK dalam
pengajaran, maka guru telah menggunakan salah satu strategi pengajaran iaitu
strategi berpusatkan murid. Guru memberi kuasa kepada murid untuk memilih dan
merancang serta melaksana sesuatu aktiviti atau projek. Guru hanya memberi
panduan dan penerangan pada peringkat awal kemudian murid melaksanakannya.
Contohnya, guru mengajar murid membuat surat kiriman rasmi. Dengan menggunakan
komputer, guru meminta murid mencari bahan daripada internet iaitu mencari
contoh-contoh surat kiriman rasmi. Sebelum mencari, guru menunjukkan cara kepada
murid untuk mencari bahan tersebut. Setelah murid faham, murid akan
melakukannya sendiri. Jadi, guru telah memberi kuasa kepada murid untuk
melibatkan diri secara aktif dalam PdP. Namun, yang membantutkan semangat guru
untuk mengaplikasikan TMK dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah terdapat
sesetengah murid menyalahgunakan komputer semasa PdP. Sebagaimana diketahui,
murid-murid pada masa kini terutama murid di bandar sangat terdedah kepada
penggunaan komputer tidak kira sama ada melayari internet atau bermain permainan
yang terdapat dalam komputer. Semasa guru mengajar atau menunjukkan sesuatu
pada skrin, terdapat murid yang melakukan perkara lain di belakang. Dalam bilik
komputer, setiap murid dibekalkan dengan satu komputer. Mereka melakukan hal
sendiri seperti membuka sesuatu laman web yang tidak berkaitan dengan
pengajaran guru. Banyak perkara yang dapat dilakukan murid melalui internet
yang disediakan daripada pihak sekolah seperti membuka laman sosial ‘facebook’
dan sebagainya. Lebih takut lagi sekiranya ada murid yang membuka gambar atau
laman web lucah. Murid-murid sekolah rendah sekarang kebanyakannya sudah
terdedah dengan perkara-perkara ini dan sering kali menonton filem-filem lucah.
Jadi, mereka sangat ghairah apabila berhadapan dengan komputer. Hal ini berlaku
di sekolah kerana laman-laman web yang berunsur sosial tidak disekat di
sekolah. Guru tidak dapat menghalang perkara ini sekiranya sedang memberi
penerangan di hadapan. Pemantauan hanya dapat dilakukan oleh guru semasa murid
sedang melakukan kerja-kerja tertentu yang disuruh guru. Kesimpulannya, sikap
murid yang menyalahgunakan penggunaan komputer semasa PdP menyebabkan guru
tidak berminat untuk mengajar menggunakan komputer.
Selain itu, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu
mengajar menggunakan komputer ialah pengaplikasian sesetengah perisian TMK
dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah sukar. Terdapat beberapa perisian dalam
komputer yang sesuai digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu. Penggunaannya yang
betul dan sesuai dengan isi pelajaran dapat menarik minat murid serta
memudahkan murid untuk memahami apa yang disampaikan guru pada hari tersebut. Sekiranya
cara yang betul digunakan, proses PdP akan berlaku dengan berkesan dan guru
dapat menjimatkan masa serta dapat beralih kepada topik seterusnya dengan pantas.
Sekiranya boleh, guru-guru Bahasa Melayu akan mengaplikasikan semua perisian
yang boleh digunakan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dengan berkesan. Namun,
tidak semua perisian dapat digunakan dengan mudah. Tambahan pula, tahap
kemahiran guru dalam ICT adalah rendah. Penghasilan bahan pengajaran secara
talian dalam kalangan guru masih lagi di tahap yang rendah. Ini disebabkan
kebanyakan para guru tidak mempunyai pengalaman untuk membina laman web. Ini
diakui melalui kajian Foong (1999) menunjukkan hanya 12.5% daripada guru di
Selangor mempunyai pengalaman dan pengetahuan mereka bentuk laman web.
Kekurangan kemahiran ini telah membataskan guru untuk menghasilkan bahan
pengajaran secara talian. Kajian mendapati bahawa guru-guru banyak pengetahuan
dalam aspek penggunaan perisian pemprosesan perkataan (Microsoft Word) dan
pencarian maklumat melalui internet. Ini selaras dengan kajian Lim Bee Yeok
(2008) menyatakan guru-guru mempunyai pengetahuan yang tinggi terutama dalam
perisian pemprosesan perkataan kerana mereka kerap menggunakan komputer untuk
menyiapkan tugasan mereka. Ini bersamaan dengan kajian Mohd Fadzri (2006) yang
menyatakan kebanyakan guru didapati menggunakan komputer untuk proses
penghasilan nota pengajaran berbanding dengan menggunakan komputer dalam
pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, guru-guru Bahasa Melayu
juga merasakan pembelajaran secara talian memakan masa yang panjang berbanding
penyediaan pengajaran secara tradisional. Beban tugas utama yang dihadapi oleh
para guru adalah menyediakan tugasan secara talian dan membalas emel murid.
Tugas membalas emel murid memakan masa yang lama kerana ia melibatkan penulisan
yang bertaip. Ini berbeza dengan pembelajaran yang dijalanakan di dalam kelas
di mana guru perlu memberi penerangan dalam pengajarannya secara lisan dan
respons daripada murid dapat diperolehi secara spontan dalam kelas. Contohnya,
guru ingin mengajar murid kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur. Guru
merancang untuk mengadakan aktiviti berdialog antara beberapa orang murid
menerusi skype. Sebagaimana diketahui, pengajaran yang menggunakan skype sangat
menarik dan murid-murid sekolah rendah sangat menyukainya. Perancangan guru
untuk mengadakan aktiviti ini sangat bijak dan kreatif kerana melakukan
pengajaran yang lain daripada yang lain atau luar biasa yang tidak dilakukan
oleh guru-guru lain. Untuk mengajar menggunakan skype, banyak langkah yang
perlu dilakukan dan guru perlu mempunyai pengetahuan tentang cara penggunaannya.
Pelaksanaannya yang sukar akan mematahkan semangat guru untuk melaksanakan
beberapa aktiviti yang menggunakan skype. Hal ini akan menghalang guru Bahasa
Melayu untuk mengajar menggunakan komputer. Guru akan berasa kecewa kerana tidak
mempunyai kemahiran itu. Mereka akan berpatah balik iaitu mengajar dengan cara
yang lama dek kerana tidak mempunyai pengetahuan untuk menggunakan perisian
yang agak sukar.
Seterusnya, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu
mengajar menggunakan komputer ialah halangan daripada pihak pentadbir sekolah.
Hal ini melibatkan sebilangan kecil sekolah sahaja. kebanyakan guru ingin untuk
masuk mengajar dalam bilik komputer. Hal ini kerana ia lebih mudah untuk
mengajar Bahasa Melayu berbantukan komputer. Hal ini juga kerana guru ingin menukar
suasana belajar murid. Setiap hari murid belajar di dalam kelas, jadi guru
ingin memberikan suasana baru dan berbeza kepada murid untuk menarik perhatian
mereka. Murid juga akan lebih bersemangat dan seronok untuk belajar Bahasa
Melayu sekiranya menggunakan komputer. Namun, sesetengah pentadbir sekolah
tidak membenarkan guru masuk makmal atau bilik komputer dengan mengarahkan guru
hanya mengajar di dalam kelas sahaja. Mereka menyatakan bahawa makmal komputer
hanya boleh digunakan pada masa-masa tertentu sahaja. Sesetengah sekolah
menggunakan bilik komputer untuk tujuan tertentu seperti mesyuarat antara guru.
Pihak pentadbir juga menetapkan prosedur yang ketat kepada guru untuk masuk
bilik komputer. Guru-guru perlu mematuhi banyak peraturan sebelum boleh masuk
bilik tersebut. Contohnya, guru terpaksa mengisi borang dan membuat tempahan
serta menyatakan tujuan untuk menggunakan bilik tersebut. Kebanyakan guru Bahasa
Melayu yang tidak mahu mengajar menggunakan komputer kerana berasa rimas dengan
prosedur yang ketat dan perlu dipatuhi. Mereka berasa seperti orang asing dan
tidak diutamakan dalam sekolah. Padahal, tujuan guru ingin masuk bilik tersebut
adalah untuk mengajar murid dengan lebih selesa kerana kemudahan komputer
terdapat di situ. Hal ini menyebabkan guru tidak berminat untuk menggunakan
komputer. Sikap pentadbir yang mengambil tindakan sedemikian adalah kerana
mereka tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya berkaitan penggunaan ICT dalam
pembelajaran. Kerajaan sekarang sedang berusaha memastikan guru menggunakan TMK
dalam pengajarannya. Hal ini dapat memberi pendedahan awal kepada murid sekolah
rendah untuk meminati komputer dan celik IT. Buktinya, dasar pendidikan hari
ini telah menekankan penggunaan TMK dalam PdP. Contohnya, KSSR yang diperkenalkan
telah menyelitkan elemen TMK dalam aspek Elemen Merentas Kurikulum (EMK).
Terdapat tiga elemen dalam EMK iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan
TMK. Jelas menunjukkan bahawa TMK adalah salah satu elemen yang dilihat penting
diaplikasikan dalam PdP. Pihak pentadbir sekolah perlu membuka mata seluas-luasnya
dengan membenarkan guru Bahasa Melayu menggunakan bilik komputer agar Bahasa
Melayu dapat diajar dengan berkesan bersama-sama dengan bantuan komputer. Pentadbir
sekolah bersikap sedemikian juga mungkin kerana disebabkan sikap murid yang
nakal. Pihak pentadbir takut murid-murid yang nakal merosakkan
peralatan-peralatan komputer yang ada. Selain itu, kes kecurian juga banyak
berlaku di sekolah-sekolah. Maka, pentadbir amat risau untuk membenarkan guru
mengajar dalam bilik komputer kerana takut berlaku kehilangan barang atau
alat-alat komputer.
Di samping itu, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu
mengajar menggunakan komputer ialah tiada kemudahan internet. Kebanyakan
sekolah telah dibekalkan dengan kemudahan internet. Internet amat penting
disediakan di sekolah kerana guru-guru perlu melakukan banyak perkara seperti
mencari bahan, memasukkan markah murid, menghantar dan menerima emel. Sama
seperti mengajar Bahasa Melayu, guru-guru amat memerlukan internet dalam
menjayakan aktiviti mengajar menggunakan komputer. Terdapat sesetengah aktiviti
pengajaran Bahasa Melayu yang dirancang guru memerlukan capaian internet.
Contohnya, guru ingin mengajar budaya di Malaysia. Guru merancang untuk meminta
murid mencari bahan daripada internet dan memuat turun pakaian tradisional
setiap kaum. Cara mengajar guru ini memerlukan capaian internet di mana murid
perlu mengakses internet dan memuat turun gambar daripada internet. Akan
menjadi masalah kepada guru dan murid disebabkan internet yang terganggu atau
lambat. Internet yang lambat akan mengganggu proses pengajaran guru. Objektif
guru pada hari tersebut sukar dicapai iaitu murid tidak dapat memuat turun
gambar daripada internet secara sendiri. Keadaan ini akan menyebabkan masa
pengajaran terganggu kerana terpaksa menunggu lama bagi memuat turun sesuatu
bahan. Hal ini sudah pasti akan menjejaskan aktiviti yang lain iaitu disebabkan
internet lambat guru tidak dapat menjalankan aktiviti seterusnya yang lebih
mencabar dan menarik. Satu perkara lagi yang menyedihkan di mana guru Bahasa
Melayu tidak dapat mengajar menggunakan komputer adalah disebabkan tiada
kemudahan internet langsung. Hal ini banyak berlaku kepada sekolah-sekolah di
pedalaman. Guru hanya dapat menggunakan komputer dan melatih murid menaip
sahaja tetapi untuk mengajar murid mencari bahan menggunakan internet tidak
dapat dilakukan kerana tiada internet. Jadi, guru merasakan tidak perlu
mengajar menggunakan komputer kerana segala kemudahan berkaitan komputer tidak
tersedia dan tidak lengkap. Aktiviti-aktiviti yang lebih menarik dan mencabar
juga tidak dapat dilakukan tanpa internet. Kesimpulannya, masalah internet juga
menjadi faktor yang menghalang guru daripada mengaplikasikan TMK dalam
pengajarannya.
Punca lain yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar
menggunakan komputer ialah murid tidak berminat melakukan kerja rumah. Tidak
dinafikan, pengajaran menggunakan komputer dapat menarik minat ramai murid. Murid
yang tidak suka belajar akan berubah kepada menjadi minat untuk belajar. Dengan
TMK, mereka akan merasai betapa seronoknya belajar kerana pelbagai aktiviti
dapat dijalankan. Namun, ada murid yang tidak dapat mengimbangkan cara belajar
menggunakan TMK dan secara manual. Setelah menggunakan TMK mereka sangat teruja
dengan pengajaran guru yang menggunakan komputer. Sudah menjadi kebiasaan bagi
guru yang mengajar tidak kira sama ada guru Bahasa Melayu atau guru subjek lain
iaitu selepas mengajar guru akan memberi latihan atau kerja rumah kepada murid.
Yang menyedihkan, murid-murid ini menjadi malas melakukan kerja rumah. Mereka
malas menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru. Contohnya, tidak menyiapkan karangan
yang diberi oleh guru. Hal ini kerana mereka terlalu minat belajar menggunakan
komputer dan hanya mahu menyiapkan tugasan seperti membuat karangan hanya
dengan menggunakan komputer sahaja. Mereka hanya mahu menyiapkan kerja yang
diberi oleh guru di sekolah sahaja. Ini disebabkan belajar di sekolah
menyeronokkan dan memudahkan dengan menggnakan komputer. Murid berasa mudah
kerana segala bahan hanya dapat diperoleh dengan mudah melalui internet.
Contohnya, menyiapkan karangan berbentuk syarahan. Mereka hanya perlu menyalin
sahaja atau mengubah bentuk ayat daripada internet dan menyalin di dalam buku
latihan. Jadi, mereka berasa bosan dan sukar untuk menyiapkan kerja di rumah
kerana tidak dapat bergantung kepada komputer. Lebih-lebih lagi sekiranya di
rumah tiada komputer dan internet. Hal ini kerana di sekolah mereka banyak
bergantung kepada internet dan segalanya mudah dan pantas. Jadi, apabila
melakukan kerja di rumah, mereka perlu berfikir atau menggunakan idea sendiri
tanpa bantuan daripada kemudahan komputer. Oleh itu, murid-murid berasa sukar
untuk membuat kerja di rumah kerana perlu fikir idea sendiri dan mengambil masa
yang lama lebih–lebih lagi untuk menghasilkan karangan. Murid berasa berbeza
akan cara belajar di rumah dan sekolah. Mereka akan lebih bersemangat untuk
belajar di sekolah tetapi menjadi malas menyiapkan kerja di rumah. Mereka
sanggup mengabaikan kerja-kerja yang diberi oleh guru kerana terlalu taksub
untuk menggunakan komputer bagi melakukan aktiviti pembelajaran.
Monopoli Bahasa Inggeris dalam PdP juga merupakan salah
satu yang menjadi kekangan kepada guru untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan
TMK dengan berkesan. Seperti yang sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris telah
diakui sebagai bahasa dunia dan bahasa TMK. Oleh kerana ilmu TMK dan penciptaan
komputer, internet, laman web dan sebagainya bermula di Barat, maka hampir
kesemua istilah yang terdapat dalam komputer dan TMK ialah Bahasa Inggeris.
Demikian juga dalam PdP di mana penggunaan Bahasa Inggeris tidak lagi terhad
kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, tetapi telah semakin meluas. Ini terjadi
apabila kerajaan memperkenalkan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2004. Akibatnya, penggunaan Bahasa Inggeris
semakin meluas dan mengukuhkan lagi penggunaannya dalam TMK. Apabila ini terjadi,
hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK akan lebih sukar. Ini
sudah tentu akan menyukarkan Bahasa Melayu untuk memecahkan monopoli Bahasa
Inggeris sebagai bahasa TMK. Zamfi dan Mohamed Amin (2001), menyatakan bahawa
Bahasa Inggeris sudah mantap dan kukuh penggunaannya sebagai bahasa TMK
terutamanya dari segi ejaan, sebutan, istilah, tatabahasa dan perbendaharaan
kata. Di samping itu, bahan-bahan PdP yang sesuai di dalam Intemet, di
laman-laman web dan sebagainya banyak dibincang dan ditulis dalam Bahasa
Inggeris. Di sinilah letaknya
permasalahan yang terus dan akan dialami oleh guru-guru Bahasa Melayu. Langkah
mengatasi seperti memahami istilah dan menyesuaikannya dengan istilah Bahasa
Melayu perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu.
Punca kekangan guru untuk mengajar Bahasa Melayu
menggunakan komputer ini juga turut melibatkan kurangnya peranan agensi
pelaksana kerajaan. Walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka sudah berusaha untuk
mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti memperbanyakkan
bahan-bahan berkaitan Bahasa Melayu di Intemet, tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka
kurang mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan seperti
kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan sebagainya. Sebagai contoh, masih
terdapat kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai satu cara menyebarkan
maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan, menyambung pelajaran, tender dan
sebagainya. Mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu ataupun sekurang-kurangnya
menggunakan dwibahasa. Apabila ini terjadi sudah tentu usaha kita hendak
menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK akan menghadapi kegagalan ataupun
tidak berjalan dengan lancar. Jadi, sekiranya guru ingin mengajar dan
menggunakan bahan bagi menunjukkan contoh-contoh kepada murid akan menjadi
masalah kerana kebanyakan bahan daripada internet adalah dalam bahasa Inggeris.
Contohnya, guru ingin mengajar berkaitan tajuk atau bidang-bidang pekerjaan
kepada murid iaitu guru ingin menunjukkan jenis-jenis pekerjaan kepada murid
dan cara-cara membuat permohonan kerja secara online. Hal ini akan menyukarkan
guru dan murid kerana bahan-bahan atau laman web tersebut kebanyakannya
disediakan dalam bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengharapkan Dewan Bahasa
dan Pustaka sahaja. Semua agensi kerajaan sama ada agensi di peringkat pusat
mahupun negeri mestilah sama-sama membantu Dewan Bahasa dan Pustaka
mendaulatkan penggunaan bahasa TMK menggunakan Bahasa Melayu. Justeru, semua
agensi kerajaan pusat dan negeri ini perlu memasukkan semua maklumat berkaitan
agensi masing-masing dalam Bahasa Melayu ataupun ditulis dalam dua bahasa iaitu
Bahasa Melayu dan Inggeris. Hanya melalui cara ini sahaja Bahasa Melayu boleh
ditingkatkan atau sekurang-kurangnya sebaris dengan Bahasa Inggeris sebagai
bahasa TMK.
Terdapat banyak cara untuk mengatasi masalah guru Bahasa
melayu mengajar menggunakan komputer. Cara pertama ialah mewujudkan jaringan
kerjasama antara panitia Bahasa Melayu atau pihak sekolah dengan PPD. PPD
memainkan peranan penting dalam membantu memastikan pengurusan sekolah berjalan
lancar. PPD mempunyai kuasa dalam mengawal atau memantau sekolah tertentu dalam
sesuatu kawasan. Seharusnya sekolah perlu mengadakan kerjasama atau interaksi
yang kerap dengan PPD. Hal ini penting untuk menjalinkan hubungan yang mesra
antara sekolah dan PPD bagai aur dengan tebing. Hubungan baik ini amat
mendatangkan kesan baik kepada pihak sekolah. Dengan jaringan kerjasama ini
guru-guru dapat meningkatkan tahap pembangunan sekolah yang lebih baik terutama
pembangunan ICT sekolah. Dalam meningkatkan ICT sekolah, pihak sekolah perlu
berbincang dengan PPD dan menyatakan pendapat atau mengusulkan hasrat ingin
melakukan penambahbaikan sistem pengajaran dengan menggunakan komputer dan
melengkapkan pengurusan sekolah dengan menggunakan komputer. Panitia Bahasa
Melayu perlu memainkan peranan penting dalam hal ini untuk memastikan Bahasa
Melayu dapat diajar di sekolah dengan menggunakan kemudahan komputer terkini.
Guru panitia perlu berbincang dan menyatakan kepentingan atau rasional PdP Bahasa
Melayu menggunakan komputer kepada pihak PPD. Dalam pada itu, guru panitia juga
perlu meminta kepada PPD agar mengemas kini sistem pengajaran Bahasa Melayu di
mana perlu mewujudkan perisian-perisian dan laman-laman web yang pelbagai dalam
internet yang berkaitan dengan Bahasa Melayu sekolah rendah. Hal ini dapat memudahkan
guru dan murid untuk membuat rujukan dan melawat laman web tersebut untuk
kegunaan PdP Bahasa Melayu. Dengan cara ini, guru Bahasa Melayu tidak perlu
bersusah payah mencari dan menyediakan bahan yang perlu mengambil masa yang
lama. Guru-guru boleh memanfaatkan dan menggunakan bahan yang terdapat dalam
internet dengan mudah. Hal ini juga adalah untuk memudahkan segala urusan
pengajaran guru dan masa juga dapat dijimatkan. Perkara ini juga menunjukkan
sistem PdP Bahasa Melayu lebih cekap di mana mempunyai laman web sendiri dan
orang ramai terutama guru dan murid dapat membuat rujukan. Hal ini juga akan
membuatkan murid berasa kagum dan dapat menunjukkan Bahasa Melayu juga dapat
diajar dengan menggunakan komputer. Perbincangan panitia dengan PPD ini amat
penting agar PPD dapat memaklumkan kepada bahagian pendidikan yang lebih
berkuasa atau pihak atasan. Hal ini menunjukkan kesungguhan para guru Bahasa
Melayu untuk mengajar subjek ini dengan menggunakan komputer. Sekiranya boleh,
panitia perlu mengusulkan untuk mewujudkan satu bilik khas Bahasa Melayu yang
dibekalkan komputer untuk memperkemas cara mengajar subjek ini. Hal ini kerana
untuk memudahkan guru Bahasa Melayu mengajar di mana tidak perlu lagi
berebut-rebut dengan guru-guru lain untuk menggunagn bilik komputer sekolah.
Sekiranya mempunyai bilik komputer sendiri, segala aktiviti atau program yang
dirancang guru-guru Bahasa Melayu dapat dijalankan di situ. Contohnya,
persembahan, teater, lakonan dan sebagainya dapat dilakukan di dalam bilik itu.
Cara atasi yang kedua ialah perlu ada persidangan
guru-guru Bahasa Melayu tentang penggunaan komputer dalam PdP. Faridah (1998),
berpendapat bahawa guru-guru yang berjaya membentuk kumpulan-kumpulan kerja
dapat bertukar-tukar maklumat tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan
proses PdP. Dalam hal ini, guru-guru Bahasa Melayu boleh bekerjasama dalam satu
kumpulan seperti membuat pemilihan, penilaian dan pembelian sesuatu program
perisian. Guru Bahasa Melayu perlu mengadakan perbincangan atau persidangan
dalam memastikan pengajaran Bahasa Melayu berjalan lancar dengan berbantukan
komputer. Dalam perbincangan ini, semua guru boleh memberi pendapat atau
cadangan untuk menambahbaik penggunaan TMK dalam PdP Bahasa Melayu. Panitia
perlu mengarahkan kumpulan ini untuk mengadakan persidangan yang kerap. Melalui
cara ini, setiap masalah yang dihadapi dalam PdP Bahasa Melayu dapat
dibincangkan cara untuk mengatasinya serta penambahbaikan dapat dilakukan.
Hasil perbincangan turut dapat disalurkan kepada PPD menerusi panitia bagi
melakukan penambahbaikan terhadap penggunaan komputer di sekolah. Paling
penting dalam persidangan ini, guru-guru Bahasa Melayu membentuk atau merancang
perisian yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu. Piontek dan Garrock
(1995), berpendapat bahawa beberapa aspek perlu diambil kira oleh guru apabila
memilih maklumat yang terdapat dalam teknologi maklumat, terutamanya di dalam
laman-laman web. Dalam konteks ini, guru-guru Bahasa Melayu harus tahu memilih
dan menyesuaikan maklumat-maklumat dalam internet, laman web dan sebagainya
sesuai untuk PdP Bahasa Melayu. Guru-guru perlulah menetapkan penggunaan
perisian yang mana dapat digunakan oleh
guru dan murid-murid mudah mengikuti dan melaksanakan cara pengajaran seperti
itu. Sekiranya sukar, murid tidak dapat melakukan dan mereka tidak akan
berminat dengan pengajaran guru meskipun menggunakan komputer. Guru juga perlu
berbincang tentang pembinaan bahan yang sesuai untuk mengajar Bahasa Melayu
dengan menggunakan komputer. Bahan dan perisian tersebut perlulah sesuai dengan
isi pelajaran, tahap umur serta kebolehan murid. Seharusnya guru
menitikberatkan hal ini untuk menjamin keberkesanan PdP. Perbincangan sebegini
seharusnya kerap diadakan misalnya seminggu sekali. Perbincangan ini penting
untuk melihat perkembangan dan potensi murid dalam PdP Bahasa Melayu dengan
menggunakan komputer. Perbincangan ini juga diadakan untuk meningkatkan kemahiran
guru. Dalam perbincangan ini, guru diterang bagaimana hendak menggunakan setiap
bahan dan perisian komputer dengan betul dan berkesan. Guru juga akan lebih
faham serta mengetahui langkah-langkah yang betul dalam mengaplikasikan komputer
dalam pengajaran mereka. Pendedahan sebegini penting dalam membuka mata dan
meningkatkan kemahiran guru untuk mengajar. Guru kadang kala tidak tahu
menggunakan perisian komputer sedangkan ia merupakan kemahiran yang asas.
Contohnya, terdapat guru yang tidak tahu cara untuk menyimpan bahan. Perkara
ini merupakan sesuatu yang asas. Sesungguhnya, segala maklumat dan kemahiran serta
perkongsian bahan antara guru-guru, guru Bahasa Melayu dapat mengaplikasikannya
dalam kelas dengan lebih baik daripada sebelumnya. Selain mengajar, persidangan
guru-guru Bahasa Melayu penting untuk meningkatkan kualiti Bahasa Melayu
berasaskan komputer. Dengan pengaplikasian komputer, guru-guru Bahasa Melayu
dapat mengadakan program yang menarik berdasarkan subjek Bahasa Melayu dengan
menggunakan komputer. Contohnya, program kreativiti dan inovasi. Guru boleh
mencipta permainan kepada murid dengan menggunakan komputer.
Cara atasi yang ketiga ialah guru besar perlu memainkan
peranan mengarahkan guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer. Guru
besar merupakan orang yang paling berkuasa di sekolah. Guru besar perlu
memastikan pengajaran di sekolah sangat berkualiti. Guru besar juga seharusnya
mendapat pendedahan sewajarnya tentang penggunaan ICT dalam PdP. Guru besar
harus mematikan guru-guru Bahasa Melayu mengajar dengan menggunakan komputer,
sekurang-kurangnya seminggu sekali. Guru besar perlu meninjau guru-guru Bahasa
Melayu dalam pengajaran mereka. Guru besar perlu menyokong segala perancangan
guru berkaitan pengajaran menggunakan komputer. Guru besar haruslah sentiasa
memberi dorongan dan galakan kepada guru agar lebih kreatif. Galakan daripada
guru besar ini haruslah berterusan. Sebagaimana yang diketahui, guru-guru Bahasa
Melayu jarang mendapat peluang masuk mengajar dalam bilik komputer kerana
digunakan oleh guru-guru lain yang menganggap Bahasa Melayu tidak perlu
menggunakan komputer. Di sinilah guru besar perlu membetulkan tanggapan yang
salah itu. Bilik komputer seharusnya menjadi sebahagian daripada kelas guru
Bahasa Melayu. Guru besar seharusnya tidak menetapkan prosedur yang ketat
kepada guru Bahasa Melayu untuk masuk mengajar dalam bilik komputer. Prosedur
yang terlalu ketat ini akan menyebabkan guru-guru berasa sukar untuk masuk
bilik komputer. Guru besar perlu galakkan guru-guru untuk masuk makmal komputer
dan memberi keutamaan kepada semua guru yang ingin mengajar di situ tanpa
memilih mana-mana guru atau subjek-subjek tertentu. Guru besar perlu yakin
dengan kebolehan guru-guru Bahasa Melayu untuk mengajar menggunakan komputer sekolah.
Dalam mengarahkan guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer, guru besar
perlu juga memastikan semua pihak atau pentadbir memberi sokongan kepada
guru-guru Bahasa Melayu ini. Guru besar perlu mengenal pasti guru-guru yang mahir
komputer dalam sekolah itu. Kemudian, menggalakkan guru tersebut untuk membantu
dan mengajar guru Bahasa Melayu yang masih lemah menggunakan komputer. Dalam
hal ini, guru-guru perlu saling membantu antara satu sama lain, berkongsi ilmu
dan mencurahkan kepada guru-guru yang lain yang agak lemah. Guru perlu sedar
bahawa rakan-rakan sejawat mereka amat memerlukan bantuan dalam melestarikan
PdP yang berkesan dengan menggunakan komputer.
Cara atasi yang keempat ialah guru perlu mengikuti kursus
komputer. Guru Bahasa Melayu perlu mempunyai kesedaran untuk meningkatkan
kemahiran dan penguasaan dalam TMK. Di Malaysia, terdapat banyak pusat belajar
komputer yang disediakan untuk membantu orang ramai belajar komputer. Guru-guru
perlu mengambil kesempatan ini dengan mengikuti kursus komputer. Guru dapat
belajar beberapa perisian seperti Mocrosoft Word, Excel, Power Point dan
sebaginya di situ. Guru dapat meluangkan masa untuk mengikuti kursus komputer
di sebelah petang. Guru-guru dapat mengajar di sebelah pagi manakala sebelah
petang mereka dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran komputer. Guru
mendapat banyak manfaat dengan mengikuti kursus komputer. Ilmu ini juga dapat
digunakan untuk melakukan kerja-kerja perkeranian seperti menaip, mencetak dan
sebagainya. Selain itu, guru dapat mengaplikasikannya semasa mengajar dalam
kelas. Contohnya, Power Point dapat guru gunakan untuk menerangkan sesuatu
fakta atau apa-apa sahaja kepada murid. Guru juga tidak boleh bergantung kepada
kursus itu sahaja dalam menambahkan kemahirannya tetapi guru perlu mempunyai
inisiatif sendiri dalam meningkatkan kemahiran ICT. Guru perlu meningkatkan
kemahiran ini dari semasa ke semasa. Untuk mengukuhkan kemahiran guru, guru
perlu mempunyai komputer sendiri di rumah. Bagi mengukuhkan ilmu yang
dipelajari, guru perlu mengaplikasikannya sendiri di rumah menggunakan komputer
sendiri. Guru boleh belajar sendiri di rumah berdasarkan pengetahuan yang
diperoleh semasa mengikuti kursus komputer. Guru juga harus selalu melakukan
latihan sendiri di rumah. Sekiranya guru melakukan latihan setiap hari, guru
akan mahir dan cekap menggunakan komputer. Sesungguhnya, amat penting untun
seseorang guru itu mempunyai komputer sendiri bukan sahaja dapat digunakan
untuk melakukan kerja-kerja tertentu
tetapi juga dapat gunakan untuk mengajar dalam kelas. Kursus komputer amat
bermakna kepada guru-guru. Oleh itu, kerajaan perlu memperbanyakkan pusat-pusat
pembelajaran komputer dengan menubuhkan di merata tempat untuk memudahkan orang
ramai dan guru mempelajari kemahiran itu. Kerajaan juga perlu menyediakan
tenaga pengajar yang terlatih dan berkualiti. Sekiranya tenaga pengajar adalah
orang oang pakar, guru-guru akan mudah faham dan akan menjadi mahir dalam masa
yang singkat. Apabila guru sudah mempunyai kemahiran ini, guru dapat
mengaplikasikannya dalam kelas semasa mengajar.
Cara atasi yang kelima ialah guru perlu mendorong murid
untuk meminati TMK. Sebagaimana yang diketahui, murid mempunyai latar belakang
keluarga yang berbeza. Terdapat murid yang daripada keluarga berada dan ada
murid daripada keluarga miskin. Bagi golongan berada mereka sudah pasti
terbiasa dan selalu menggunakan komputer. Berbeza dengan murid daripada
keluarga miskin yang ibu bapa mereka tidak mampu membeli komputer. Jadi,
disebabkan tidak pernah menggunakan komputer mereka berasa sukar dan menganggap
komputer susah untuk digunakan. Hal ini menyebabkan mereka menjadi kurang minat
terhadap komputer. Mereka tidak aktif dan tidak mahu melibatkan diri semasa PdP
guru yang menggunakan komputer. Guru Bahasa Melayu tidak boleh membiarkan murid
begitu sahaja dan menjadikan komputer sebagai benda asing kepada murid-murid
yang tidak minat komputer. Pertama sekali, guru perlu menerangkan tentang kelebihan
menggunakan komputer. Guru juga harus memberitahu murid bahawa banyak faedah
diperoleh apabila menggunakan komputer dalam pembelajaran. Perkara penting yang
perlu guru lakukan adalah menerapkan atau mengaplikasikan komputer semasa
mengajar untuk membuktikan kepentingan komputer kepada murid-murid. Meskipun
TMK berkesan dalam PdP, guru tidak boleh mengajar sewenang-wenangnya. Guru
perlu menggunakan komputer untuk mengajar tajuk-tajuk berkaitan sahaja dan
bersesuaian sahaja. Contohnya, guru ingin mengajar kemahiran membaca. Guru
perlu memilih bahan yang sesuai dengan murid untuk menggunakan TMK. Guru boleh
meminta murid mengakses internet dan mencari mana-mana petikan yang sesuai kemudian
membacakan petikan tersebut. Kesesuaian isi pelajaran dengan aktiviti penting
untuk membolehkan murid faham. Sekiranya guru menggunakan cara yang salah atau mengaplikasikan
TMK tetapi tidak sesuai dengan isi pelajaran, murid akan berasa sukar untuk
melaksanakan aktiviti tersebut dan akan membantutkan semangat murid tersebut. Guru
seharusnya mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Untuk mendorong murid
minat komputer guru perlu kreatif. Kreatif ini bermaksud guru dapat menyediakan
aktiviti-aktiviti menarik yang jarang dilakukan oleh guru lain. Bahasa Melayu
sangat menarik jika diajar dengan cara dan teknik yang betul. Banyak aktiviti
dapat dijalankan seperti bercerita, lakonan, nyanyian, berdialog, syarahan dan
sebagainya. Untuk menyelitkan unsur TMK, guru boleh meminta murid membuka
youtube dan melihat salah satu aktiviti misalnya video bercerita. Setelah murid
faham, guru boleh meminta murid tersebut pula untuk bercerita. Guru dapat
memikat murid untuk bergiat aktif dalam PdP yang menggunakan komputer ini.
Cara atasi yang keenam ialah guru Bahasa Melayu itu
sendiri seharusnya berkorban untuk mencapai hasil PdP yang berkesan. Hal ini
merujuk kepada cara guru mengatasi masalah penggunaan internet. Terdapat
beberapa sekolah yang internetnya tidak laju dan kadang kala mengalami masalah
tiada internet langsung. Hal ini sudah tentu akan mengganggu tugas-tugas guru
seperti mencari bahan dan menghantar sebarang maklumat kepada pihak lain. Dalam
mengajar Bahasa Melayu, guru-guru sering merungut bahawa masalah internet merupakan
punca Bahasa Melayu tidak dapat diajarkan menggunakan komputer. Sesetengah
tajuk memerlukan guru mengajar dengan bergantung kepada kemudahan internet.
Sekiranya pada hari tersebut internet bermasalah, segala perancangan guru
menjadi sia-sia dan tidak dapat dilaksanakan. Contohnya, pada hari itu guru
merancang untuk mengajar kata kerja. Guru telah merancang supaya murid mencari
beberapa petikan daripada internet dan mengenal pasti kata kerja dalam petikan
tersebut. Dengan masalah internet ini, guru tidak dapat melakukan semua ini dan
guru terpaksa bergantung semula kepada buku teks. Oleh itu, sebagai guru kita
tidak boleh terlalu bergantung kepada kemudahan sekolah. Guru seharusnya
menggunakan usaha sendiri di mana guru perlu berkorban sedikit wang ringgit
demi anak-anak murid. Sekiranya internet di sekolah sering mengalami masalah
dan guru tidak dapat mengajar menggunakan komputer, guru perlu menggunakan
internet sendiri. Apa yang boleh dikatakan orang ramai pada hari ini
kebanyakannya sudah mempunyai internet sendiri iaitu mereka melanggan internet
seperti maxis, celcom, digi, YES dan sebagainya. Tidak terlepas insan yang
bergelar guru. Kebanyakan guru juga mempunyai internet sendiri. Hal ini kerana
internet pada hari ini bukan sahaja sebagai kehendak malahan sudah menjadi
keperluan. Tambah-tambah individu yang berniaga secara online. Tanpa internet
orang ramai tidak dapat hidup dengan sempurna. Jadi, cara terbaik yang perlu
guru lakukan ialah membawa ‘broadband’ sendiri ke sekolah. Ini merupakan
langkah terbaik dan tidak perlu mengganggu guru-guru lain. Sekiranya guru tidak
dapat masuk makmal sekalipun, guru boleh mengajar menggunakan komputer dan
internet sendiri. Guru tidak seharusnya bersikap kedekut. Terdapat guru yang
kedekut untuk membawa broadband ke sekolah kerana takut kehabisan kuota sekiranya
digunakan semasa mengajar. Mereka hanya mahu menggunakan untuk kepentingan
peribadi sahaja. Guru harus membuang sikap ini dan perlu berkorban demi
murid-murid.
Selain itu, cara atasi masalah ini ialah pihak sekolah
perlu memantau bilik komputer dari semasa ke semasa. Setiap aset yang terdapat
di sekolah adalah sangat berharga. Semua warga perlu menjaga aset ini sebaik
mungkin. Komputer merupakan alat teknologi yang mahal dan akan rosak sekiranya
tidak dijaga dengan baik. Pihak sekolah perlu mengambil berat terhadap bilik
komputer agar bilik tersebut dan keadaan komputer berada dalam keadaan yang
baik dan sempurna pada setiap masa. Pihak pentadbir harus melantik seorang guru
yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga keselamatan dan keadaan bilik
komputer. Guru tersebut dapat menyelia dan mengurus bilik tersebut serta dapat
memastikan tiada kerosakan berlaku. Sebolehnya, pihak pentadbir perlu memilih
guru yang pakar atau mahir dalam bidang IT. Hal ini penting supaya sesuatu
masalah atau kerosakan komputer dapat dibaiki segera. Untuk penjagaan yang rapi
sesebuah bilik komputer sekolah, pihak pentadbir perlu mencari beberapa
juruteknik yang betul-betul pakar dalam bidang ini. Pihak sekolah perlu mengundang
juruteknik beberapa minggu sekali untuk meninjau keadaan komputer sekolah. Hal
ini penting kerana juruteknik yang dipilih semestinya pakar. Jadi, mereka dapat
mengesan mana-mana komputer yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Selain itu,
juruteknik ini juga penting kerana mereka dapat mengesan alat-alat komputer
yang perlu ditukar ganti. Langkah ini perlu untuk mengelakkan kerosakan yang
lebih besar. Sekiranya perkara ini dapat dielakkan, sekolah dapat menjimatkan
wang di mana wang tersebut dapat digunakan untuk perkara-perkara lain yang
lebih penting. Selanjutnya, dalam memastikan komputer sekolah sentiasa dalam
keadaan baik dan guru Bahasa Melayu dapat menggunakannya, guru yang
dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan mengurus bilik tersebut perlu
menetapkan beberapa peraturan keluar masuk bilik tersebut. Namun, peraturan
tersebut jangan terlalu ketat sehingga menyukarkan dan merimaskan guru.
Guru-guru Bahasa Melayu yang ingin menggunakan bilik tersebut perlu patuhi
peraturan-peraturan yang disediakan. Guru juga perlu memastikan semua murid
mengetahui peraturan bilik tersebut. Semasa PdP, guru perlu mengawal disiplin
murid pada setiap masa. Hal ini penting untuk mengelakkan daripada berlakunya
masalah disiplin seperti murid bergaduh dalam makmal komputer. Sekiranya
berlaku pergaduhan, kemungkinan murid-murid akan merosakkan peralatan-peralatan
komputer. Jadi, guru harus pastikan perkara seperti ini tidak berlaku semasa
PdP. Setelah mengajar, guru juga perlu memastikan semua murid menutup kembali
komputer dengan baik. Langkah terakhir yang perlu guru lakukan ialah meninjau
setiap komputer untuk memastikan segala peralatan komputer berada dalam keadaan
yang baik seperti awal dan tiada yang hilang.
Di samping itu, cara atasi masalah ini juga ialah pihak
kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang sesuai kepada sekolah berkaitan
kemudahan komputer. Seharusnya setiap sekolah diberikan peruntukan khas untuk
kemudahan komputer daripada kerajaan. Pihak sekolah tidak dapat membangunkan
atau menyediakan kemudahan ini tanpa bantuan kerajaan. Hal ini kerana ia
memerlukan kos yang tinggi. Jadi, pihak kerajaan tidak boleh terlepas pandang
dalam hal ini kerana kebanyakan sekolah terutama di bandar amat mementingkan
kemudahan komputer dalam PdP termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Kerajaan
perlu menggerakkan dan membangunkan kemudahan ini di semua sekolah secara sama
rata. Pada hari ini, teknologi komputer semakin berkembang dan terdapat banyak
kelebihan yang lebih canggih daripada komputer sebelum ini. Teknologi dan
kapasiti komputer hari ini lebih berkuasa tinggi berbanding komputer lama.
Contohnya, mempunyai windows 8. Dalam memberikan peruntukan kepada sekolah,
kerajaan perlu sedar akan perkembangan teknologi terkini. Maksudnya, kerajaan
perlu menyediakan komputer yang terkini dan menukar komputer-komputer lama di
sekolah yang sering rosak dengan komputer baru. Amat penting untuk kerajaan
menyediakan teknologi komputer terkini kepada sekolah. Hal ini untuk memastikan
murid tidak ketinggalan zaman dan dapat mengikuti perkembangan teknologi
semasa. Sesungguhnya, guru dapat mengajar murid sesuatu pelajaran secara
berkualiti dengan kemudahan komputer dan perisian yang lebih canggih dan
menarik. Keadaan ini juga dapat membantu PdP Bahasa Melayu berjalan dengan
lancar dan lebih menyeronokkan. Selain menyediakan komputer-komputer baru,
kerajaan perlu memberi peruntukan kewangan kepada sekolah untuk membaiki
mana-mana komputer yang rosak. Kerajaan perlu menjadi pendengar yang baik
kepada pihak sekolah. Setiap aduan guru berkaitan masalah komputer perlu
diambil tindakan segera. Kerajaan harus bersedia dalam mendengar dan mengatasi
segala masalah yang dapat menyekat PdP yang menggunakan komputer. Sekiranya
guru membuat aduan atau meminta peruntukan, kerajaan perlu memberi peruntukan
yang sesuai kepada sekolah. Selain komputer, prasarana atau bilik komputer
perlu diberi perhatian juga. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kepada guru
untuk memastikan keadaan makmal atau bilik komputer sentiasa baik dan sesuai
untuk belajar TMK.
Cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah mewajibkan
pelajar mengikuti kursus komputer semasa dalam pengajian. Guru perlu pakar
dalam semua bidang dan tidak boleh hanya menguasai sesuatu bidang sahaja. Begitu
juga TMK, bidang ini seharusnya menjadi dekat dengan guru. Bagaimana caranya
ialah guru perlu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sebagai langkah
awal untuk menjana guru Bahasa Melayu yang mahir komputer dan mampu mengajar
menggunakan komputer, kementerian pendidikan perlu menyediakan kursus atau mata
pelajaran TMK kepada pelajar semasa berada di universiti atau IPG. Di IPG,
pelajar major Bahasa Melayu perlu mengikuti kursus BMM3105 iaitu PdP Bahasa
Melayu Berbantukan Komputer semasa di semester 3. Penetapan mata pelajaran ini
penting dan merupakan langkah bijak pihak IPG dan pendidikan. Hal ini penting
untuk melahirkan guru yang mahir komputer. Meskipun subjek Bahasa Melayu namun,
PdP dapat diadun bersama TMK. Ini bukti bahawa subjek Bahasa Melayu merupakan
salah satu subjek yang sesuai diajar menggunakan komputer di sekolah.
Pembelajaran ini bukan hanya sesuai atau penting di IPG atau universiti. Dengan
adanya subjek BMM3105, di samping guru pelatih belajar sesuatu topik mengikut
proforma, pada masa yang sama pelajar dapat menerapkan ilmu TMK. Pembelajaran
dengan cara ini lebih mudah dan menyeronokkan. Antara yang guru pelatih Bahasa
Melayu belajar dalam kursus ini seperti membina blog, katalog internet, brosur,
tapak pembelajaran dan sebagainya. Ilmu ini sangat penting dan apabila guru
pelatih tamat belajar dan dihantar berkhidmat di sekolah, guru-guru dapat
mengaplikasikan apa yang pensyarah ajar berkaitan komputer kepada murid-murid.
Guru-guru Bahasa Melayu dapat mengajar murid sesuatu topik dengan menggunakan
komputer secara berkesan. Guru pelatih perlu bersyukur dan berbangga kerana
dapat mempelajari segala ilmu berkaitan komputer semasa di IPG. Ilmu ini bukan
mudah untuk diperolehi di luar sana sewenang-wenangnya dan secara percuma.
Dengan ilmu ini, guru dapat menurunkannya kepada anak murid pula. PdP akan
bertambah menarik apabila guru-guru mengajar Bahasa Melayu menggunakan
komputer. Selain itu, untuk melahirkan bakal guru yang celik IT, pihak IPG
perlu mengetatkan lagi syarat kemasukan pelajar ke IPG. Semasa temu duga, pihak
IPG perlu memilih pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam ICT terlebih
dahulu sebelum memilih pelajar lain. Semasa temu duga juga, pihak IPG perlu
meneliti segala sijil pelajar. Pelajar yang memiliki sijil komputer dan
mempunyai kemahiran perlu diberi keutamaan. Hal ini bukan bermakna pihak IPG
perlu mengetepikan pelajar-pelajar lain tetapi untuk mengutamakan pelajar yang
mahir komputer terlebih dahulu kerana sekolah amat dahagakan guru yang mahir
komputer pada hari ini. Semasa peringkat temu duga, panel boleh bertanyakan
soalan-soalan berkaitan komputer kepada pelajar. Pelajar yang mahir komputer
sudah pasti dapat menjawab segala soalan yang diajukan. Hal ini berbeza dengan
pelajar-pelajar yang kurang mahir dalam ICT. Selain pelajar IPG, pelajar
universiti juga penting untuk menguasai TMK terutamanya pelajar-pelajar yang
mengikuti pengajian pendidikan dan bakal menjadi guru. Pihak kementerian
pendidikan perlu menetapkan kursus wajib kepada pelajar-pelajar universiti agar
mereka mengambil dan mempelajari TMK sama seperti pelajar IPG. Dengan belajar
TMK, mereka akan mahir dan tidak ada masalah untuk tidak tahu mengajar
menggunakan komputer di sekolah nanti. Tidak dinafikan, kadang kala orang yang
tidak belajar komputer secara langsung juga tahu menggunakan komputer. Inikan
pula pelajar-pelajar universiti atau guru pelatih IPG. Selain itu, guru-guru
yang mengikuti Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) juga diberikan
pendedahan ini. Melalui program LDP, guru-guru diberi taklimat khas dan hands-on
penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar oleh tenaga pengajar
yang terlatih. Semasa mengikuti kursus LDP, guru-guru ini diajar mengenai
penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, pengurusan emel, blog dan
sebagainya yang berkaitan. Guru juga telah diberi pinjaman untuk pemilikan
komputer bagi meluaskan pengetahuan mereka tentang kemudahan dan penggunaan
komputer dan ICT. Pihak kementerian menyarankan guru-guru mengambil inisiatif
sendiri untuk membiasakan diri dengan penggunaan ICT. Dunia pendidikan hari ini
begitu rancak dengan pengaplikasian komputer dalam PdP. Dapat dibuat kesimpulan
bahawa guru-guru yang tidak mengajar komputer hanya memberikan alasan sahaja. Mereka
sebenarnya tahu menggunakan komputer. Sukar dipercayai sekiranya
pelajar-pelajar universiti dan IPG tidak mahir komputer. Hal ini kerana semasa
mereka sedang mengikuti pengajian, segala tugasan disiapkan dengan menggunakan
kemudahan komputer. Agak berbeza dengan zaman dahulu di mana tugasan perlu
disiapkan dengan menulis sahaja oleh kerana tiada kemudahan komputer. Contohnya,
pelajar IPG belajar selama lima tahun di IPG. Sepanjang lima tahun tersebut,
guru pelatih menyiapkan tugasan, membuat pembentangan dan sebagainya dengan
menggunakan komputer. Sama juga seperti pelajar universiti.
Guru-guru Bahasa Melayu juga perlu menguasaan bahasa TMK iaitu
bahasa Inggeris sebagai salah satu cara mengatasi masalah penggunaan komputer.
Pengukuhan dan penguasaan Bahasa Inggeris perlu ditingkatkan oleh guru-guru
Bahasa Melayu oleh kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa dominan dalam TMK. Kelemahan
menguasai bahasa siber pasti akan menyukarkan proses pengajaran guru.
Penggunaan bahasa TMK dapat membantu guru-guru Bahasa Melayu mengajar pelbagai
kemahiran bahasa dan berbahasa seperti membaca, menulis, tatabahasa, ayat dan
lain-lain yang semuanya menuntut guru Bahasa Melayu memahami istilah-istilah
yang terdapat dalam teknologi maklumat. Justeru, guru perlu mempertingkatkan
keupayaan menguasai bahasa siber terutamanya Bahasa Inggeris yang dominan dalam
TMK. Selain itu, guru-guru Bahasa Melayu perlu juga menguasai istilah-istilah
bahasa siber seperti yang terdapat dalam Kamus Komputer (1995). Amat rugi
sekiranya guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah atau guru-guru
Bahasa Melayu yang mengajar menggunakan komputer atau internet tidak tahu menggunakan komputer, bahasa komputer
dan sebagainya.
Penglibatan dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka amat
penting sebagai cara mengatasi masalah guru mengajar Bahasa Melayu menggunakan
komputer. Selain daripada teras membangunkan korpus bahasa, pihak Dewan Bahasa
dan Pustaka telah memainkan peranan penting dengan penubuhan
jawatankuasa-jawatankuasa tertentu sebagai jentera penggerak dalam rancangan
pengembangan bahasa sektor swasta. Kegiatan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka
boleh diperkukuhkan lagi dengan peranan yang lebih aktif bersama-sarna dengan
pihak luar seperti Kementerian Pelajaran. Antara usaha yang boleh dilakukan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah menerbitkan pelbagai buku berkaitan dengan
bahasa TMK untuk kegunaan guru-guru di sekolah termasuk guru Bahasa Melayu
seperti kamus-kamus pelbagai jenis, istilah dan pedoman ejaan dan lain-lain
sumber merupai bahan rujukan untuk mempergiatkan penggunaan Bahasa Melayu oleh
guru-guru di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh pihak Dewan Bahasa dan
Pustaka dalam usaha mengeluarkan pelbagai penerbitan dengan harga yang
berpatutan adalah menggalakan. Sebagai pengguna bahasa kita juga harus
bersyukur atas usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengemaskinikan penerbitan-penerbitan
tersebut dari semasa ke semasa.
Kesimpulannya, banyak punca yang telah dikenal pasti yang
menjadi masalah atau kekangan kepada guru-guru Bahasa Melayu untuk mengajar
menggunakan komputer. Sebenarnya, kebanyakan punca atau masalah tersebut telah
disedari dan ia bukan masalah baru tetapi isu ini telah lama timbul dan hanya
dipandang remeh sahaja. Kita perlu sedar bahawa sekiranya tiada tindakan atau
kesedaran untuk mengubah cara pengajaran mengikut masa kini yang terdedah
kepada TMK, kita akan ketinggalan dan sistem pendidikan kita akan berada di
tahap yang lama. Kita semua perlulah melakukan anjakan paradigma terutamanya
golongan pendidik dalam membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia
tanpa tidak ketinggalan dalam bidang IT. Anjakan sebegini penting dilakukan
dalam dunia pendidikan demi melahirkan modal insan yang cemerlang dan celik IT.
Justeru, semua pihak haruslah berganding bahu dan bertungkus lumus mengatasi
masalah-masalah yang menjadi kekangan kepada guru untuk mengaplikasikan TMK
dalam pengajarannya. Guru itu sendiri perlu sedar dan berubah serta perlu
sentiasa meningkatkan kemahiran TMK agar menjadi insan yang pakar dan
berkebolehan mengaplikasikannya di dalam kelas. Keberkesanan PdP terletak pada
bahu seseorang guru. Jadi, guru perlu membuktikan kepada semua bahawa TMK amat
penting diaplikasikan dalam PdP serta membuktikan bahawa Bahasa Melayu
sebenarnya amat sesuai diajar dengan menggunakan komputer.