Saturday 10 May 2014

ISU-ISU PENGGUNAAN KOMPUTER DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU

Pengajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer Dipandang Sebelah Mata Dalam Kalangan Guru
Oleh : Mohd Saiful Othman

Pengajaran bahasa dengan menggunakan komputer adalah antara kaedah pengajaran yang dianggap bersesuaian dengan keperluan pendidikan masa kini. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa mampu mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru dan penguasaan kemahiran bahasa pelajar. Dalam memperkatakan teknologi dalam pendidikan, Grove et al. (2004) menyatakan nilai teknologi di dalam bilik darjah telah menimbulkan isu dan perdebatan dalam kalangan ahli teknologi pendidikan. Teknologi telah dibuktikan dapat meningkatkan produktiviti, menambahkan motivasi, menyokong pengajaran secara tidak langsung, kebolehan pengajaran yang bersifat unik dan meningkatkan literasi maklumat (Roblyer & Schwier, 2003). Persoalannya ialah sejauh manakah guru Bahasa Melayu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan komputer dan tahap penguasaan guru serta kekangan yang dihadapi. Pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) mendatangkan manfaat dan impak yang besar terhadap PdP Bahasa Melayu di sekolah rendah. Namun, terdapat pelbagai masalah yang menjadi kekangan bagi memanipulasikan teknologi ini.
            Sistem pendidikan masa kini banyak terdedah kepada penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam segala hal. Begitu juga bahasa Melayu, proses PdP Bahasa Melayu juga amat penting digarapkan dengan penggunaan TMK dalam pelaksanaannya. Namun, PdP Bahasa Melayu boleh dikatakan tidak sepenuhnya berjaya menggunakan TMK. Terdapat banyak punca atau sebab-sebab yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer. Punca pertama ialah guru bahasa Melayu tidak mahir dalam mengendalikan pembelajaran berbantukan komputer. Suwarnee (2006), Ros Azura (2004), Hamzah (2004) secara umumnya mereka mendapati bahawa tahap pengetahuan dan kepakaran guru-guru Bahasa Melayu masih berada di tahap sederhana. Dalam hal ini, ada sesetengah guru Bahasa Melayu tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang mendalam bagaimana hendak menggunakan TMK seperti intemet, laman web, komputer, bagaimana hendak mengakses laman-laman web yang boleh dijadikan bahan bantu mengajarnya dan sebagainya. Kebanyakan guru mengajar banyak bercakap dan memberikan latihan kepada murid. Kaedah yang sering digunapakai oleh guru-guru ialah menulis di papan hitam dan meminta murid untuk menyalin. Guru berasa cara ini atau cara biasa lebih mudah dan tidak memerlukan banyak perancangan teliti. Guru-guru Bahasa Melayu yang tidak mahir menggunakan komputer ini juga adalah kerana mereka tidak pernah melakukan kerja-kerja dengan menggunakan komputer. Mereka menganggap untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer amat merumitkan. Mereka juga menganggap Bahasa Melayu adalah mata pelajaran yang tidak sesuai diajar menggunakan komputer. Pada mereka atau guru-guru Bahasa Melayu ini mengajar secara lisan lebih sesuai dan mudah untuk menyampaikan sesuatu fakta atau isi pelajaran. Menurut guru-guru, dalam Bahasa Melayu murid-murid perlu menguasai kemahiran mengarang. Justeru, murid perlu diajar secara biasa dan perlu menggunakan pensil dan kertas selalu untuk meningkatkan kemahiran mengarang mereka. Jadi, guru tersebut merasakan bahawa hanya subjek komputer sesuai dan harus menggunakan komputer dalam pengajarannya. Guru-guru bahasa Melayu yang kurang mahir komputer ini juga kerana mereka ini kurang terdedah kepada penggunaan komputer. Hal ini juga kerana guru-guru ini tidak memiliki komputer sendiri. Sebagai guru, mereka seharusnya mempunyai komputer sendiri. Mereka harus kuasai atau ikuti kecanggihan zaman moden ini. Hal ini penting supaya semua guru tidak ketinggalan oleh arus zaman. Sememangnya, komputer amat penting untuk mencari bahan dan penggunaannya akan memudahkan sesuatu bahan diperolehi. Banyak sumber dalam internet yang boleh membantu guru mendapatkan sebarang bahan atau maklumat penting. Guru merupakan insan berilmu. Jadi, mereka perlu melakukan pembacaan pada setiap masa. Salah satunya cara adalah menerusi penggunaan komputer. Apabila guru sudah terbiasa dan kerap menggunakan komputer, guru akan mahir menggunakannya. Bukan itu sahaja, guru juga akan mahir dan pandai menggunakan setiap perisian yang ada di dalam komputer. Dengan kemahiran yang ada ini, guru boleh mengajar menggunakan komputer. Dengan menggunakan komputer semasa mengajar Bahasa Melayu, guru dapat menarik perhatian murid dengan lebih baik. Selain itu, guru juga dapat melakukan banyak aktiviti dalam pengajarannya. Tidak dinafikan bahawa dengan menggunakan komputer untuk mengajar akan menggalakkan guru menjadi sangat kreatif dan disukai oleh murid-murid. Murid-murid sudah pasti akan menyanjung guru tersebut dek kerana PdP yang dijalankan sangat menyeronokkan dengan berbantukan komputer. Hakikatnya, pada hari ini guru Bahasa Melayu tidak mahir komputer dan tidak dapat menggunakannya semasa mengajar. Kurangnya kemahiran guru dalam bidang TMK ini akan memberi kesan kepada murid-murid terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Murid-murid ini terpaksa belajar dengan cara lama oleh kerana gurunya tidak pandai mengajar menggunakan komputer sedangkan subjek Bahasa Melayu dapat diajar dengan menggunakan komputer dan pembelajaran dengan menggunakan komputer ini jauh lebih menark daripada pembelajaran secara manual atau biasa ini. Contohnya, guru ingin mengajar karangan pada hari itu. Jadi, guru boleh meminta murid mengakses internet dan mencari contoh-contoh karangan sebagai panduan kepada mereka tanpa perlu merujuk buku teks setiap masa. Selain itu, terdapat ramai guru-guru lama yang mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Mereka-mereka ini boleh dikatakan tidak tahu menggunakan komputer oleh kerana zaman mereka dahulu sangat kurang pendedahan mengenai bidang ICT ini. Generasi yang lahir sebelum era 1970-an dikatakan kurang cekap mengendalikan peralatan-peralatan ICT. Hal ini sangat berbeza dengan generasi selepas era 1990-an yang cekap dan berpengetahuan luas dalam hal penggunaan ICT. Masih terdapat guru yang tidak tahu menggunakan komputer untuk memasukkan data atau masih terkial-kial untuk menaip surat menggunakan Microsoft Word. Apabila guru yang tidak cekap menggunakan peralatan ICT seperti pemancar LCD dan laptop, perkara ini akan menimbulkan masalah. Kelemahan sebilangan guru ini menyebabkan usaha kerajaan untuk mengaplikasikan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran terbantut. Pembaharuan ini dirasakan sebagai satu beban bagi golongan guru ini. Mereka tiada kepakaran untuk menggunakan peralatan ICT yang kemudiannya dijadikan alasan mengganggu dan mengambil masa pengajaran. Ini menyebabkan golongan ini meneruskan cara lama dan membantutkan perkembangan pendidikan negara. Dapat dibuat kesimpulan bahawa guru-guru lama ini akan meneruskan pengajaran mereka dengan cara yang lama oleh kerana bagi mereka agar sukar untuk mempelajari ICT dengan tahap umur sekarang ini lebih-lebih lagi guru yang hampir bersara. Oleh itu, guru-guru muda dan masih segar ini tidak boleh memberikan alasan tidak tahu menggunakan komputer kerana mereka mempunyai banyak masa untuk belajar komputer. Kesimpulannya, salah satu punca guru bahasa Melayu tidak mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya adalah kerana tidak mahir menggunakan komputer.
            Punca kedua yang menghalang guru bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah banyak masa diperlukan untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer. Banyak masa perlu dihabiskan dalam menyediakan bahan untuk PdP Bahasa Melayu sekiranya menggunakan komputer. Sebagaimana yang diketahui, tugas guru kini bukan hanya mengajar, tetapi perlu menghadiri banyak mesyuarat, program, kursus dan sebagainya. Untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer, guru perlu teliti dan membuat perancangan yang baik. Hal ini penting agar aktiviti yang dibuat berkesan, menarik dan yang lebih penting objektif PdP tercapai. Dalam mengaplikasikan TMK dalam pengajaran, guru perlu memilih perisian yang sesuai untuk digunakan dalam pengajaran. Contohnya, Microsoft Office Word amat sesuai digunakan untuk mengajar murid menaip seperti membuat esei atau karangan. Selain itu, perisian lain seperti Power Point dapat juga guru gunakan untuk mengajar seperti meminta murid membuat penerangan dan pembentangan di dalam kelas. Untuk mengaplikasikan ini, guru perlu merancang terlebih awal. Guru perlu mencari maklumat terlebih dahulu untuk ditunjukkan kepada murid. Tambahan lagi, guru harus meneroka terlebih dahulu sesuatu perisian sebelum meminta murid melakukannya. Misalnya, cara mencari bahan menggunakan enjin pencari. Guru perlu mengenal pasti laman web yang sesuai untuk dilawati yang berkaitan dengan isi pelajaran. Contohnya, untuk memudahkan murid mencari sesuatu maksud dalam internet, guru boleh perkenalkan kepada murid lawan web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Sebelum itu, guru itu sendiri perlu tahu menggunakan atau memasuki laman web ini. Dengan adanya laman web khas untuk pelajaran Bahasa Melayu, murid dapat belajar dengan mudah. Contoh lain seperti guru ingin mengajar murid memuat turun sesuatu bahan daripada internet. Dalam hal ini, guru juga perlu meluangkan masa belajar langkah-langkah untuk memuat turun bahan terlebih dahulu sebelum meminta murid melakukannya. Amat penting untuk seseorang guru itu mahir dalam teknik ini sebelum melakukannya di dalam kelas. Lebih-lebih lagi sekiranya terdapat guru yang kurang mahir dan masih dalam proses pembelajaran. Hal ini sudah tentu akan memerlukan banyak masa untuk menyediakan bahan atau merancang aktiviti kepada murid. Untuk mengaplikasikan secara berkesan, guru perlu mengambil masa iaitu dengan menyediakannya atau menerokainya terlebih awal sebelum mengajar. Hal ini kerana sekiranya guru tersilap atau kekok menggunakan perisian komputer semasa mengajar akan memalukan  diri guru tersebut di depan murid. Sebenarnya, kandungan bahan TMK berkaitan pelajaran bahasa Melayu amat terbatas. Jadi, guru perlu menghabiskan banyak masa bagi mencari dan meneliti bahan dan perisian yang sesuai untuk murid belajar. Mohd Arif, Rosnaini dan Zainuddin (2007), menyatakan bahawa kini terdapat banyak laman web yang dibina dan ditulis dalam Bahasa Melayu dalam internet. Bagi laman web yang berkaitan pendidikan, sudah tentu ia sesuai dijadikan bahan P&P bagi guru-guru Bahasa Melayu. Namun begitu, tidak semua bahan yang terdapat dalam internet, laman web dan lain-lain sesuai dengan kurikulum sesuatu mata pelajaran Bahasa Melayu. Ini sudah tentu menyukarkan guru-guru Bahasa Melayu untuk mengetengahkan bahan-bahan yang sesuai untuk pendidikan Bahasa Melayu kepada murid-muridnya. Ini secara tidak langsung membataskan pengetahuan murid tentang mempelajari bahasa menggunakan teknologi seperti intemet. Di samping itu, bahan-bahan yang terdapat dalam TMK lebih kepada cita rasa, budaya dan norma-norma masyarakat Barat yang kurang sesuai untuk pendidikan para pelajar. Justeru, guru Bahasa Melayu perlu mengenal pasti dan mengubahsuaikan kandungan kurikulum bahan yang diambil dari intemet, laman web dan lain-lain mengikut budaya masyarakat Malaysia. Guru juga beranggapan merugikan masa dengan mengajar Bahasa Melayu berbantukan komputer kerana banyak masa dihabiskan dalam menyediakan perkakas komputer sebelum mengajar. Hal ini berlaku sekiranya pembelajaran tidak dapat dijalankan di dalam bilik komputer. Maka, guru harus menggunakan komputer sendiri. Dalam hal ini, sebelum mengajar, guru perlu memasang LCD dan mengambil masa untuk membuka komputer. Hal ini memakan masa dan masa mengajar guru akan berkurang. Lebih malang lagi sekiranya berlaku masalah semasa memasang alat-alat komputer seperti LCD tidak berfungsi dengan baik. Hal ini bukan memberi kesan kepada guru, tetapi akan menjejaskan minat murid dek kerana terpaksa menunggu lama untuk belajar. Jadi, semangat belajar mereka akan hilang. Kesimpulannya, guru-guru Bahasa Melayu tidak mahu mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya adalah disebabkan mereka tidak sanggup menghabiskan masa yang lama dalam menyediakan bahan PdP kepada murid. Lebih-lebih lagi sesuatu perisian itu agak sukar untuk digunakan dan mereka takut banyak masa dihabiskan dan tidak dapat melakukan tugas-tugas lain.
            Punca ketiga yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan TMK ialah pelajar kurang berminat menggunakan komputer dalam pengajan Bahasa Melayu. Kebanyakan murid sekolah tidak tahu menggunakan komputer. Hal ini banyak berlaku kepada murid-murid luar bandar dan dari kampung. Mereka tidak tahu menggunakan komputer kerana mereka tidak pernah menggunakannya di rumah. Oleh itu, mereka menganggap komputer sangat asing sedangkan komputer penting dengan keperluan masa kini. Murid-murid yang tidak tahu menggunakan komputer ini berasa takut untuk menggunakan komputer semasa belajar. Mereka sebenarnya takut akan komputer rosak sekiranya digunakan atau disentuh. Murid-murid ini yang tidak berminat dengan komputer juga adalah kerana mereka malu dengan rakan-rakan disebabkan mereka tidak tahu serta tidak mengenali alat-alat komputer. Ini menyebabkan mereka manjadi kurang berminat menggunakan komputer. Guru akan berasa beban kerana murid kurang aktif menggunakan komputer. Guru terpaksa menbambil masa yang lama sebelum mengajar iaitu guru perlu mengajar murid menggunakan komputer terlebih dahulu supaya mereka dapat melakukan apa yang disuruh guru. Dengan ini, guru tidak boleh mengajar isi pelajaran lagi tetapi perlu mengajar cara menggunakan komputer terlebih dahulu kepada murid. Hal ini akan menyebabkan sukatan pelajaran sukar untuk dihabiskan mengikut perancangan. Perkara ini akan menyebabkan guru-guru Bahasa Melayu menjadi tertekan dan lama-lama akan kurang menggunakan TMK dalam pengajarannya dan akhirnya kembali kepada cara mengajar yang lama. Sekiranya guru menggunakan komputer dan murid berminat, banyak aktiviti menarik yang dapat dijalankan. Contohnya, guru boleh mengadakan soalan interaktif bersama murid. Guru meminta murid datang ke hadapan dan klik pada jawapan yang betul. Apabila murid tidak tahu dan kurang berminat, mereka akan malu untuk datang ke hadapan kelas dan menggunakan komputer untuk selesaikan aktiviti tersebut. PdP Bahasa Melayu akan terganggu dengan sikap murid sebegini. Segala aktiviti yang guru rancang tidak akan berjaya dan berjalan lancar. Faktor latar belakang keluarga dan persekitaran amat mempengaruhi keadaan ini. Sekiranya mengajar di bandar, kebanyakan murid suka komputer. Hal ini kerana mereka sering terdedah di mana ibu bapa mereka mempunyai komputer di rumah. Keadaan ini berbeza denga murid-murid luar bandar, ibu bapa mereka tidak mampu membeli komputer. Hal ini menyebabkan murid ketinggalan dalam era teknologi maklumat. Situasi murid sebegini menyebabkan mereka tidak dapat mengikuti PdP Bahasa Melayu berbantukan komputer dengan berkesan. Guru perlu bersabar dan melatih murid sedikit demi sedikit agar murid-murid ini terbiasa dan terdedah dengan komputer. Hal ini sememangnya dapat menarik minat mereka. Kesimpulannya, guru Bahasa Melayu tidak dapat mengaplikasikan pengajaran Bahasa Melayu dengan menggunakan TMK kerana terdapat murid-murid yang tidak berminat dengan komputer. Segala yang guru rancang menjadi sia-sia kerana tidak dapat dilaksanakan. Guru-guru tidak boleh berputus ada dengan murid-murid ini tetapi mereka harus memberikan kesedaran kepada murid dengan membantu mereka memberi tunjuk ajar dan cara menggunakan komputer. Semangat guru seperti ini amat penting kerana guru bertindak sebagai pembimbing dan fasilitator kepada murid.
            Punca keempat yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan TMK ialah keadaan komputer yang tidak sempurna. Sebagaimana yang diketahui, penggunanan komputer dalam mengajarkan setiap subjek amat berkesan dan menarik. Sekiranya guru tahu kebaikan penggunaan komputer, guru akan mengaplikasikannya setiap masa. Bagi sesetengah sekolah di bandar, kebanyakan guru mengajar menggunakan TMK termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Apa yang dilihat kini, setiap sekolah telah dibekalkan dengan banyak komputer untuk kegunaan guru dan murid. Namun, komputer-komputer tersebut tidak semuanya dapat digunakan. Komputer-komputer di sekolah sering rosak. Guru akan membawa semua murid ke bilik komputer untuk mengajar bahasa Melayu dan memastikan semua murid dapat menggunakan komputer sekolah. Apabila terdapat komputer yang rosak, beberapa orang murid tidak dapat menggunakannya dan terpaksa berkongsi dengan rakan yang lain. Hal ini menyebabkan murid tidak selesa untuk belajar dan akan mengakibatkan murid kurang faham pengajaran guru. Murid-murid juga tidak dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kerana berkongsi komputer dengan rakan. Hal ini menyebabkan beberapa orang murid tidak dapat melakukannya sendiri dan hanya memerhati rakannya menggunakan komputer dan melakukan kerja yang disuruh oleh guru. Sememangnya, pengajaran guru pada hari tersebut tidak dapat berjalan lancar kerana murid tidak dapat menggunakan komputer secara individu. Sememangnya, malang tidak berbau. Jadi, penjagaan yang rapi terhadap komputer perlu dilakukan dari semasa ke semasa. Salah satu sebab komputer di sekolah sering rosak kerana sistem penyelenggaraan komputer yang tidak cekap oleh pihak sekolah. Seharusnya komputer perlu kerap diselenggara. Hal ini amat penting supaya komputer sentiasa dalam keadaan baik dan murid dapat memanfaatkannya. Situasi ini turut menunjukkan bahawa pihak sekolah kurang memberi perhatian kepada penjagaan bilik komputer. Mereka tidak peka terhadap kepentingan aset sekolah. Komputer yang rosak hanya dibiarkan. Seharusnya komputer yang rosak ini dibaiki atau diganti dengan yang baru. Dalam hal ini, pihak sekolah perlu mengarah pihak berkenan untuk melakukan selenggaraan terhadap komputer sekolah. Dilihat juga kebanyakan komputer di sekolah agak ketinggalan dari segi kapasiti dan teknologi. Komputer-komputer yang ada hanyalah komputer lama dan tidak mempunyai perisian terkini. Kesimpulannya, komputer sekolah yang sering rosak akan mengalang guru Bahasa Melayu untuk mengajar murid dengan menggunakan komputer. Guru-guru amat berharap untuk menggunakan komputer sekolah bagi mengajar murid dengan lebih baik. Kerosakan komputer yang berlaku akan menghalang guru untuk mengajar menggunakan komputer.
            Punca kelima yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah masalah bilik komputer. Sudah terang lagi bersuluh, kecanggihan teknologi pada masa kini sudah meliputi semua bidang tidak terlepas bidang pendidikan. Justeru, pihak kerajaan amat menitikberatkan penguasaan TMK dalam kalangan guru dan murid. Buktinya, penyerahan Netbook 1Malaysia oleh kerajaan kepada pelajar-pelajar pada tahun 2011. Di sekolah pula, boleh dikatakan hampir semua sekolah telah dibekalkan dengan satu bilik komputer yang tujuannya supaya murid dapat belajar menggunakan TMK dalam PdP. Guru Bahasa Melayu yang kreatif dan gemar menggunakan TMK dalam pengajarannya akan membawa murid-muridnya belajar di dalam bilik komputer. Menjadi masalah ialah bilik komputer tidak mencukupi. Guru-guru berebut untuk masuk ke dalam bilik tersebut. Sekiranya terlewat sedikit, guru Bahasa Melayu tidak dapat menggunakan bilik komputer disebabkan digunakan oleh guru-guru lain. Oleh itu, guru perlu mengajar semula di dalam kelas. Kebanyakan guru berasa subjek seperti Bahasa Melayu kurang sesuai diajar menggunakan komputer. Jadi, mereka mengetepikan guru Bahasa Melayu dan mengutamakan subjek lain seperti sains untuk masuk dalam bilik komputer. Sekiranya hal ini sering berlaku, guru Bahasa Melayu akan berasa tertekan dan lama-kelamaan tidak berminat lagi untuk masuk bilik komputer dan menyediakan pengajaran yang biasa serta hanya berlaku di dalam kelas. Kadang kala sesetengah guru bersikap dengki terhadap guru lain. Contohnya, guru Bahasa Melayu selalu mengajar dalam bilik komputer. Jadi, dia berasa cemburu dan membawa murid-muridnya lebih awal ke makmal atau bilik komputer. Hal ini berlaku kerana bilik komputer lebih selesa untuk belajar disebabkan terdapat hawa dingin. Selain itu, guru Bahasa Melayu tidak berpeluang untuk mengajar di dalam bilik komputer kerana terdapat juga guru subjek lain yang setiap hari membawa muridnya masuk ke bilik tersebut. Guru-guru tidak boleh berbuat seperti itu. Guru seharusnya berlaku adil dan memberi peluang kepada guru-guru lain. Hal ini kerana semua guru berhak untuk menggunakan bilik komputer. Menjadi masalah sekarang di mana bila seseorang guru itu menggunakan bilik komputer setiap hari untuk mengajar, guru bahasa Melayu yang telah merancang segalanya tidak dapat melaksanakan segala aktiviti yang telah dirancang. Hal ini kerana pengajaran memerlukan komputer sebagaimana yang telah dirancang pada awalnya. Jadi, guru terpaksa menukar cara mengajar dan aktiviti yang lain. Guru terpaksa merancang aktiviti baru yang sememangnya akan memakan masa. Justeru, pihak sekolah perlu mengurus penggunaan bilik komputer oleh guru-guru dengan baik. Contohnya membenarkan seseorang guru mengajar dalam bilik komputer hanya dua kali seminggu. Guru-guru harus mematuhi peraturan dan prosedur ini. Kesimpulannya, masalah penggunaan bilik komputer menjadi kekangan kepada guru untuk mengajar menggunakan komputer.
            Punca keenam yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah guru tidak bersedia hadapi perubahan. Konsep “cholk and talk” telah serasi dengan insan yang bergelar guru. Mereka lebih selesa mengajar dengan hanya bercakap di hadapan dan akhir sekali memberi latihan kepada murid. Mereka menganggap teknik ini sangat berkesan dan mudah untuk murid memahami pelajaran. Kebanyakan guru Bahasa Melayu mengejar pencapaian murid dalam peperiksaan. Mereka hanya inginkan murid mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Guru Bahasa Melayu mahu memastikan semua murid lulus dan mendapat A dalam peperiksaan kerana Bahasa Melayu merupakan subjek teras dan wajib lulus. Jadi, guru Bahasa Melayu mengajar dengan menumpukan terus kepada kemahiran-kemahiran penting dalam Bahasa Melayu. Contohnya, guru mengajar karangan dan sentiasa memberikan latihan kepada murid supaya mereka cekap menghasilkan karangan yang baik. Guru juga memfokuskan kepada kemahiran ini kerana karangan merupakan soalan wajib dalam peperiksaan. Jadi, mereka hendak memastikan murid-murid mereka dapat menguasai aspek-aspek penting dalam sesuatu kemahiran. Bagi guru, segala aspek yang disoal dalam peperiksaan murid mereka dapat menguasainya. Ini merupakan tujuan mereka sebenarnya yang hanya mementingkan peperiksaan semata-mata. Pada pandangan mereka, mengaplikasikan TMK akan mengganggu kefahaman murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan menyukarkan kaedah mengajar. Hal ini kerana banyak bahan atau perkara perlu disediakan sebelum mengajar dan semasa mengajar. Guru Bahasa Melayu juga yakin bahawa PdP konvensional lebih relevan dengan sistem peperiksaan. Dengan cara ini, murid hanya perlu menumpukan kepada penerangan guru, melihat contoh di dalam buku teks dan menyalin nota. Murid juga perlu menghafal sesuatu fakta yang bertujuan supaya murid dapat mengingati sesuatu isi dan mudah untuk mereka menjawab soalan peperiksaan. Bagi guru, sekiranya menggunakan komputer, murid perlu melakukan banyak perkara untuk mempelajari sesuatu topik. Guru berasa TMK tidak sesuai dengan subjek Bahasa Melayu. Hal ini kerana mereka mahu menjaga prestasi dan pencapaian murid dalam peperiksaan. Keputusan peperiksaan murid agak memuaskan dan kenapa pula perlu berubah? Guru mempersoalkan hal ini dengan mengatakan bahawa mengapa perlu berubah lagi sedangkan cara pembelajaraan murid sudah baik dan pencapaian juga baik. Sikap guru yang tidak mahu berubah kepada kebaikan dan mengikuti arus pemodenan bagaikan katak di bawah tempurung. Mereka masih mahu berada di takuk yang lama dengan cara yang lama. Selain itu, guru yang tidak bersedia hadapi perubahan ini kerana guru berasa komputer merupakan alat yang terlalu canggih. Mereka menganggap untuk menggunakannya memerlukan tahap kemahiran yang tinggi dan hanya orang yang berkemahiran sahaja layak menggunakannya. Apa yang ada dalam minda mereka ialah mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer sangat susah dan kompleks. Pada mereka, belajar dengan menggunakan komputer tidak sama dengan belajar cara biasa tanpa komputer. Guru yang risau untuk mengubah cara mengajar ini sebenarnya takut murid mereka tidak dapat mengikuti pengajarannya. Justeru, guru seharusnya, dapat berfikir di luar kotak dan menerima perubahan.
            Punca ketujuh yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah kerisauan guru dalam menggunakan komputer. Terdapat guru Bahasa Melayu yang risau untuk menggunakan komputer bagi mengajar subjek Bahasa Melayu. Hal ini menunjukkan mereka tidak yakin dan kurang percaya akan keberkesanan serta hasil PdP berbantukan komputer. Mereka ini tidak menyelami dan mengikuti arus semasa. Terdapat guru yang risau untuk menggunakan komputer semasa mengajar. Ada juga guru yang takut komputer akan rosak apabila disentuh. Ini merupakan tanggapan yang salah. Sememangnya komputer akan rosak sekiranya berlaku sesuatu yang terlalu serius di dalam sistemnya ataupun kita memasukkan virus secara tidak sedar melalui ‘pendrive’. Guru yang takut untuk menggunakan komputer dan menganggap komputer akan rosak apabila disentuh adalah guru yang tidak pandai atau mahir menggunakan komputer. Sekiranya guru tahu menggunakannya, guru dapat melakukan perkara atau menggunakannya untuk mengajar dengan cara yang betul dan selamat. Dengan kurangnya kemahiran ini yang membuatkan guru tersebut membuat andaian negatif tentang komputer. Komputer amat mudah digunakan sekiranya kita tahu cara penggunaannya yang betul dan ia tidak terlalu kompleks. Dengan rasa takut untuk menyentuh komputer, guru akan menjauhkan diri daripada komputer dan tidak mahu menggunakannya untuk mengajar. Selain itu, guru yang risau ini juga merasakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi. Sikap ini menunjukkan bahawa guru seperti ini amat gerun dengan komputer. Mereka merasakan komputer terlalu hebat dan amat canggih dan sukar untuk menggunakannya. Tanggapan guru seperti ini adalah salah kerana ilmu TMK ini boleh dipelajari sedikit demi sedikit dan lama-kelamaan guru dapat menguasai setiap perisian dalam komputer. Sebetulnya, dalam menyampaikan pengajaran tidak memerlukan guru untuk menggunakan perisian yang sukar. Perisian yang boleh dan selalu digunakan seperti Microsoft Office Word, Power Point dan penggunaan internet. Perisian ini amat mudah digunakan dan pengaplikasian perisian ini dalam pengajaran sudah memadai. Guru merupakan insan berilmu dan pakar dalam semua bidang. Jadi, guru perlu membuang tanggapan yang salah dengan mengatakan tidak berupaya mempelajari teknologi tinggi kerana guru serba boleh. Sesetengah guru juga risau menggunakan komputer untuk mengajar Bahasa Melayu kerana untuk mengelakkan daripada disuruh melakukan sesuatu tugas yang memerlukan penggunaan TMK sekiranya mahir komputer. Mengapa guru perlu berfikiran seperti ini? Sikap seperti ini tidak menunjukkan seorang guru yang profesional. Kebanyakan guru masa kini mahir menggunakan TMK dan kurang sahaja mengaplikasikannya dalam kelas. Salah satu alasannya ialah perkara ini iaitu risau disuruh melakukan kerja-kerja menaip atau membina sesuatu bahan menggunakan komputer. Sebenarnya, guru yang berfikiran dan bersikap sebegini amat rugi dalam menjalankan tugasnya mengajar. Hal ini kerana dia tidak sedar akan kepentingan mengajar menggunakan TMK seperti amat menarik dan mendatangkan pelbagai kesan positif. Sekiranya guru mengetepikan rasa kerisauan tersebut, guru dapat melibatkan murid secara aktif dalam kelas semasa menggunakan TMK ketika mengajar. Aktiviti juga dapat dipelbagaikan dan lebih penting lagi dapat menerapkan didik hibur seperti aktiviti nyanyian atau tayangan video sebagai merangsang minda murid. Amat merugikan sekiranya guru tidak menggunakan TMK dan risau memikirkan hal-hal negatif. Bukan itu sahaja segala kemahiran yang guru ada berkaitan komputer menjadi sia-sia sekiranya tidak digunakan dalam kelas. Penggunaan TMK ini akan menjadikan guru lebih kreatif serta tahap dan cara pengajaran guru juga akan semakin berkembang dan pelbagai. Jadi, guru harus elakkan berfikiran seperti itu yang terlalu risau untuk menggunakan komputer. Guru harus tumpukan mengajar menggunakan komputer kerana ia tidak rugi. Sekiranya pihak pentadbir dapat mengesan kebolehan guru dan meminta melakukan sesuatu, guru harus melakukannya kerana dalam menjalankan tugas sebagai guru, guru harus sentiasa bersedia dan tidak boleh mengatakan tidak dalam segala hal.
            Punca kelapan yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah pelajar menyalahgunakan komputer semasa PdP. Dalam sesebuah kelas terdapat ramai murid. Contohnya, 40 orang atau lebih. Guru pula hanya seorang dan perlu mengawal semua murid. Dengan mengaplikasikan TMK dalam pengajaran, maka guru telah menggunakan salah satu strategi pengajaran iaitu strategi berpusatkan murid. Guru memberi kuasa kepada murid untuk memilih dan merancang serta melaksana sesuatu aktiviti atau projek. Guru hanya memberi panduan dan penerangan pada peringkat awal kemudian murid melaksanakannya. Contohnya, guru mengajar murid membuat surat kiriman rasmi. Dengan menggunakan komputer, guru meminta murid mencari bahan daripada internet iaitu mencari contoh-contoh surat kiriman rasmi. Sebelum mencari, guru menunjukkan cara kepada murid untuk mencari bahan tersebut. Setelah murid faham, murid akan melakukannya sendiri. Jadi, guru telah memberi kuasa kepada murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam PdP. Namun, yang membantutkan semangat guru untuk mengaplikasikan TMK dalam pengajaran Bahasa Melayu ialah terdapat sesetengah murid menyalahgunakan komputer semasa PdP. Sebagaimana diketahui, murid-murid pada masa kini terutama murid di bandar sangat terdedah kepada penggunaan komputer tidak kira sama ada melayari internet atau bermain permainan yang terdapat dalam komputer. Semasa guru mengajar atau menunjukkan sesuatu pada skrin, terdapat murid yang melakukan perkara lain di belakang. Dalam bilik komputer, setiap murid dibekalkan dengan satu komputer. Mereka melakukan hal sendiri seperti membuka sesuatu laman web yang tidak berkaitan dengan pengajaran guru. Banyak perkara yang dapat dilakukan murid melalui internet yang disediakan daripada pihak sekolah seperti membuka laman sosial ‘facebook’ dan sebagainya. Lebih takut lagi sekiranya ada murid yang membuka gambar atau laman web lucah. Murid-murid sekolah rendah sekarang kebanyakannya sudah terdedah dengan perkara-perkara ini dan sering kali menonton filem-filem lucah. Jadi, mereka sangat ghairah apabila berhadapan dengan komputer. Hal ini berlaku di sekolah kerana laman-laman web yang berunsur sosial tidak disekat di sekolah. Guru tidak dapat menghalang perkara ini sekiranya sedang memberi penerangan di hadapan. Pemantauan hanya dapat dilakukan oleh guru semasa murid sedang melakukan kerja-kerja tertentu yang disuruh guru. Kesimpulannya, sikap murid yang menyalahgunakan penggunaan komputer semasa PdP menyebabkan guru tidak berminat untuk mengajar menggunakan komputer.
            Selain itu, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah pengaplikasian sesetengah perisian TMK dalam pengajaran Bahasa Melayu adalah sukar. Terdapat beberapa perisian dalam komputer yang sesuai digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu. Penggunaannya yang betul dan sesuai dengan isi pelajaran dapat menarik minat murid serta memudahkan murid untuk memahami apa yang disampaikan guru pada hari tersebut. Sekiranya cara yang betul digunakan, proses PdP akan berlaku dengan berkesan dan guru dapat menjimatkan masa serta dapat beralih kepada topik seterusnya dengan pantas. Sekiranya boleh, guru-guru Bahasa Melayu akan mengaplikasikan semua perisian yang boleh digunakan untuk mengajar subjek Bahasa Melayu dengan berkesan. Namun, tidak semua perisian dapat digunakan dengan mudah. Tambahan pula, tahap kemahiran guru dalam ICT adalah rendah. Penghasilan bahan pengajaran secara talian dalam kalangan guru masih lagi di tahap yang rendah. Ini disebabkan kebanyakan para guru tidak mempunyai pengalaman untuk membina laman web. Ini diakui melalui kajian Foong (1999) menunjukkan hanya 12.5% daripada guru di Selangor mempunyai pengalaman dan pengetahuan mereka bentuk laman web. Kekurangan kemahiran ini telah membataskan guru untuk menghasilkan bahan pengajaran secara talian. Kajian mendapati bahawa guru-guru banyak pengetahuan dalam aspek penggunaan perisian pemprosesan perkataan (Microsoft Word) dan pencarian maklumat melalui internet. Ini selaras dengan kajian Lim Bee Yeok (2008) menyatakan guru-guru mempunyai pengetahuan yang tinggi terutama dalam perisian pemprosesan perkataan kerana mereka kerap menggunakan komputer untuk menyiapkan tugasan mereka. Ini bersamaan dengan kajian Mohd Fadzri (2006) yang menyatakan kebanyakan guru didapati menggunakan komputer untuk proses penghasilan nota pengajaran berbanding dengan menggunakan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain itu, guru-guru Bahasa Melayu juga merasakan pembelajaran secara talian memakan masa yang panjang berbanding penyediaan pengajaran secara tradisional. Beban tugas utama yang dihadapi oleh para guru adalah menyediakan tugasan secara talian dan membalas emel murid. Tugas membalas emel murid memakan masa yang lama kerana ia melibatkan penulisan yang bertaip. Ini berbeza dengan pembelajaran yang dijalanakan di dalam kelas di mana guru perlu memberi penerangan dalam pengajarannya secara lisan dan respons daripada murid dapat diperolehi secara spontan dalam kelas. Contohnya, guru ingin mengajar murid kemahiran lisan iaitu mendengar dan bertutur. Guru merancang untuk mengadakan aktiviti berdialog antara beberapa orang murid menerusi skype. Sebagaimana diketahui, pengajaran yang menggunakan skype sangat menarik dan murid-murid sekolah rendah sangat menyukainya. Perancangan guru untuk mengadakan aktiviti ini sangat bijak dan kreatif kerana melakukan pengajaran yang lain daripada yang lain atau luar biasa yang tidak dilakukan oleh guru-guru lain. Untuk mengajar menggunakan skype, banyak langkah yang perlu dilakukan dan guru perlu mempunyai pengetahuan tentang cara penggunaannya. Pelaksanaannya yang sukar akan mematahkan semangat guru untuk melaksanakan beberapa aktiviti yang menggunakan skype. Hal ini akan menghalang guru Bahasa Melayu untuk mengajar menggunakan komputer. Guru akan berasa kecewa kerana tidak mempunyai kemahiran itu. Mereka akan berpatah balik iaitu mengajar dengan cara yang lama dek kerana tidak mempunyai pengetahuan untuk menggunakan perisian yang agak sukar.
            Seterusnya, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah halangan daripada pihak pentadbir sekolah. Hal ini melibatkan sebilangan kecil sekolah sahaja. kebanyakan guru ingin untuk masuk mengajar dalam bilik komputer. Hal ini kerana ia lebih mudah untuk mengajar Bahasa Melayu berbantukan komputer. Hal ini juga kerana guru ingin menukar suasana belajar murid. Setiap hari murid belajar di dalam kelas, jadi guru ingin memberikan suasana baru dan berbeza kepada murid untuk menarik perhatian mereka. Murid juga akan lebih bersemangat dan seronok untuk belajar Bahasa Melayu sekiranya menggunakan komputer. Namun, sesetengah pentadbir sekolah tidak membenarkan guru masuk makmal atau bilik komputer dengan mengarahkan guru hanya mengajar di dalam kelas sahaja. Mereka menyatakan bahawa makmal komputer hanya boleh digunakan pada masa-masa tertentu sahaja. Sesetengah sekolah menggunakan bilik komputer untuk tujuan tertentu seperti mesyuarat antara guru. Pihak pentadbir juga menetapkan prosedur yang ketat kepada guru untuk masuk bilik komputer. Guru-guru perlu mematuhi banyak peraturan sebelum boleh masuk bilik tersebut. Contohnya, guru terpaksa mengisi borang dan membuat tempahan serta menyatakan tujuan untuk menggunakan bilik tersebut. Kebanyakan guru Bahasa Melayu yang tidak mahu mengajar menggunakan komputer kerana berasa rimas dengan prosedur yang ketat dan perlu dipatuhi. Mereka berasa seperti orang asing dan tidak diutamakan dalam sekolah. Padahal, tujuan guru ingin masuk bilik tersebut adalah untuk mengajar murid dengan lebih selesa kerana kemudahan komputer terdapat di situ. Hal ini menyebabkan guru tidak berminat untuk menggunakan komputer. Sikap pentadbir yang mengambil tindakan sedemikian adalah kerana mereka tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya berkaitan penggunaan ICT dalam pembelajaran. Kerajaan sekarang sedang berusaha memastikan guru menggunakan TMK dalam pengajarannya. Hal ini dapat memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah untuk meminati komputer dan celik IT. Buktinya, dasar pendidikan hari ini telah menekankan penggunaan TMK dalam PdP. Contohnya, KSSR yang diperkenalkan telah menyelitkan elemen TMK dalam aspek Elemen Merentas Kurikulum (EMK). Terdapat tiga elemen dalam EMK iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK. Jelas menunjukkan bahawa TMK adalah salah satu elemen yang dilihat penting diaplikasikan dalam PdP. Pihak pentadbir sekolah perlu membuka mata seluas-luasnya dengan membenarkan guru Bahasa Melayu menggunakan bilik komputer agar Bahasa Melayu dapat diajar dengan berkesan bersama-sama dengan bantuan komputer. Pentadbir sekolah bersikap sedemikian juga mungkin kerana disebabkan sikap murid yang nakal. Pihak pentadbir takut murid-murid yang nakal merosakkan peralatan-peralatan komputer yang ada. Selain itu, kes kecurian juga banyak berlaku di sekolah-sekolah. Maka, pentadbir amat risau untuk membenarkan guru mengajar dalam bilik komputer kerana takut berlaku kehilangan barang atau alat-alat komputer.
            Di samping itu, punca yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah tiada kemudahan internet. Kebanyakan sekolah telah dibekalkan dengan kemudahan internet. Internet amat penting disediakan di sekolah kerana guru-guru perlu melakukan banyak perkara seperti mencari bahan, memasukkan markah murid, menghantar dan menerima emel. Sama seperti mengajar Bahasa Melayu, guru-guru amat memerlukan internet dalam menjayakan aktiviti mengajar menggunakan komputer. Terdapat sesetengah aktiviti pengajaran Bahasa Melayu yang dirancang guru memerlukan capaian internet. Contohnya, guru ingin mengajar budaya di Malaysia. Guru merancang untuk meminta murid mencari bahan daripada internet dan memuat turun pakaian tradisional setiap kaum. Cara mengajar guru ini memerlukan capaian internet di mana murid perlu mengakses internet dan memuat turun gambar daripada internet. Akan menjadi masalah kepada guru dan murid disebabkan internet yang terganggu atau lambat. Internet yang lambat akan mengganggu proses pengajaran guru. Objektif guru pada hari tersebut sukar dicapai iaitu murid tidak dapat memuat turun gambar daripada internet secara sendiri. Keadaan ini akan menyebabkan masa pengajaran terganggu kerana terpaksa menunggu lama bagi memuat turun sesuatu bahan. Hal ini sudah pasti akan menjejaskan aktiviti yang lain iaitu disebabkan internet lambat guru tidak dapat menjalankan aktiviti seterusnya yang lebih mencabar dan menarik. Satu perkara lagi yang menyedihkan di mana guru Bahasa Melayu tidak dapat mengajar menggunakan komputer adalah disebabkan tiada kemudahan internet langsung. Hal ini banyak berlaku kepada sekolah-sekolah di pedalaman. Guru hanya dapat menggunakan komputer dan melatih murid menaip sahaja tetapi untuk mengajar murid mencari bahan menggunakan internet tidak dapat dilakukan kerana tiada internet. Jadi, guru merasakan tidak perlu mengajar menggunakan komputer kerana segala kemudahan berkaitan komputer tidak tersedia dan tidak lengkap. Aktiviti-aktiviti yang lebih menarik dan mencabar juga tidak dapat dilakukan tanpa internet. Kesimpulannya, masalah internet juga menjadi faktor yang menghalang guru daripada mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya.
            Punca lain yang menghalang guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer ialah murid tidak berminat melakukan kerja rumah. Tidak dinafikan, pengajaran menggunakan komputer dapat menarik minat ramai murid. Murid yang tidak suka belajar akan berubah kepada menjadi minat untuk belajar. Dengan TMK, mereka akan merasai betapa seronoknya belajar kerana pelbagai aktiviti dapat dijalankan. Namun, ada murid yang tidak dapat mengimbangkan cara belajar menggunakan TMK dan secara manual. Setelah menggunakan TMK mereka sangat teruja dengan pengajaran guru yang menggunakan komputer. Sudah menjadi kebiasaan bagi guru yang mengajar tidak kira sama ada guru Bahasa Melayu atau guru subjek lain iaitu selepas mengajar guru akan memberi latihan atau kerja rumah kepada murid. Yang menyedihkan, murid-murid ini menjadi malas melakukan kerja rumah. Mereka malas menyiapkan kerja yang diberikan oleh guru. Contohnya, tidak menyiapkan karangan yang diberi oleh guru. Hal ini kerana mereka terlalu minat belajar menggunakan komputer dan hanya mahu menyiapkan tugasan seperti membuat karangan hanya dengan menggunakan komputer sahaja. Mereka hanya mahu menyiapkan kerja yang diberi oleh guru di sekolah sahaja. Ini disebabkan belajar di sekolah menyeronokkan dan memudahkan dengan menggnakan komputer. Murid berasa mudah kerana segala bahan hanya dapat diperoleh dengan mudah melalui internet. Contohnya, menyiapkan karangan berbentuk syarahan. Mereka hanya perlu menyalin sahaja atau mengubah bentuk ayat daripada internet dan menyalin di dalam buku latihan. Jadi, mereka berasa bosan dan sukar untuk menyiapkan kerja di rumah kerana tidak dapat bergantung kepada komputer. Lebih-lebih lagi sekiranya di rumah tiada komputer dan internet. Hal ini kerana di sekolah mereka banyak bergantung kepada internet dan segalanya mudah dan pantas. Jadi, apabila melakukan kerja di rumah, mereka perlu berfikir atau menggunakan idea sendiri tanpa bantuan daripada kemudahan komputer. Oleh itu, murid-murid berasa sukar untuk membuat kerja di rumah kerana perlu fikir idea sendiri dan mengambil masa yang lama lebih–lebih lagi untuk menghasilkan karangan. Murid berasa berbeza akan cara belajar di rumah dan sekolah. Mereka akan lebih bersemangat untuk belajar di sekolah tetapi menjadi malas menyiapkan kerja di rumah. Mereka sanggup mengabaikan kerja-kerja yang diberi oleh guru kerana terlalu taksub untuk menggunakan komputer bagi melakukan aktiviti pembelajaran.
            Monopoli Bahasa Inggeris dalam PdP juga merupakan salah satu yang menjadi kekangan kepada guru untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan TMK dengan berkesan. Seperti yang sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris telah diakui sebagai bahasa dunia dan bahasa TMK. Oleh kerana ilmu TMK dan penciptaan komputer, internet, laman web dan sebagainya bermula di Barat, maka hampir kesemua istilah yang terdapat dalam komputer dan TMK ialah Bahasa Inggeris. Demikian juga dalam PdP di mana penggunaan Bahasa Inggeris tidak lagi terhad kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris, tetapi telah semakin meluas. Ini terjadi apabila kerajaan memperkenalkan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sekitar tahun 2004. Akibatnya, penggunaan Bahasa Inggeris semakin meluas dan mengukuhkan lagi penggunaannya dalam TMK. Apabila ini terjadi, hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK akan lebih sukar. Ini sudah tentu akan menyukarkan Bahasa Melayu untuk memecahkan monopoli Bahasa Inggeris sebagai bahasa TMK. Zamfi dan Mohamed Amin (2001), menyatakan bahawa Bahasa Inggeris sudah mantap dan kukuh penggunaannya sebagai bahasa TMK terutamanya dari segi ejaan, sebutan, istilah, tatabahasa dan perbendaharaan kata. Di samping itu, bahan-bahan PdP yang sesuai di dalam Intemet, di laman-laman web dan sebagainya banyak dibincang dan ditulis dalam Bahasa Inggeris. Di  sinilah letaknya permasalahan yang terus dan akan dialami oleh guru-guru Bahasa Melayu. Langkah mengatasi seperti memahami istilah dan menyesuaikannya dengan istilah Bahasa Melayu perlu dikuasai oleh setiap guru Bahasa Melayu.
            Punca kekangan guru untuk mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer ini juga turut melibatkan kurangnya peranan agensi pelaksana kerajaan. Walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka sudah berusaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu seperti memperbanyakkan bahan-bahan berkaitan Bahasa Melayu di Intemet, tetapi Dewan Bahasa dan Pustaka kurang mendapatkan kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan seperti kementerian, jabatan, kerajaan negeri dan sebagainya. Sebagai contoh, masih terdapat kementerian yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai satu cara menyebarkan maklumat berkaitan dengan peluang pekerjaan, menyambung pelajaran, tender dan sebagainya. Mereka tidak menggunakan Bahasa Melayu ataupun sekurang-kurangnya menggunakan dwibahasa. Apabila ini terjadi sudah tentu usaha kita hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa TMK akan menghadapi kegagalan ataupun tidak berjalan dengan lancar. Jadi, sekiranya guru ingin mengajar dan menggunakan bahan bagi menunjukkan contoh-contoh kepada murid akan menjadi masalah kerana kebanyakan bahan daripada internet adalah dalam bahasa Inggeris. Contohnya, guru ingin mengajar berkaitan tajuk atau bidang-bidang pekerjaan kepada murid iaitu guru ingin menunjukkan jenis-jenis pekerjaan kepada murid dan cara-cara membuat permohonan kerja secara online. Hal ini akan menyukarkan guru dan murid kerana bahan-bahan atau laman web tersebut kebanyakannya disediakan dalam bahasa Inggeris. Kita tidak boleh mengharapkan Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Semua agensi kerajaan sama ada agensi di peringkat pusat mahupun negeri mestilah sama-sama membantu Dewan Bahasa dan Pustaka mendaulatkan penggunaan bahasa TMK menggunakan Bahasa Melayu. Justeru, semua agensi kerajaan pusat dan negeri ini perlu memasukkan semua maklumat berkaitan agensi masing-masing dalam Bahasa Melayu ataupun ditulis dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris. Hanya melalui cara ini sahaja Bahasa Melayu boleh ditingkatkan atau sekurang-kurangnya sebaris dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa TMK.
            Terdapat banyak cara untuk mengatasi masalah guru Bahasa melayu mengajar menggunakan komputer. Cara pertama ialah mewujudkan jaringan kerjasama antara panitia Bahasa Melayu atau pihak sekolah dengan PPD. PPD memainkan peranan penting dalam membantu memastikan pengurusan sekolah berjalan lancar. PPD mempunyai kuasa dalam mengawal atau memantau sekolah tertentu dalam sesuatu kawasan. Seharusnya sekolah perlu mengadakan kerjasama atau interaksi yang kerap dengan PPD. Hal ini penting untuk menjalinkan hubungan yang mesra antara sekolah dan PPD bagai aur dengan tebing. Hubungan baik ini amat mendatangkan kesan baik kepada pihak sekolah. Dengan jaringan kerjasama ini guru-guru dapat meningkatkan tahap pembangunan sekolah yang lebih baik terutama pembangunan ICT sekolah. Dalam meningkatkan ICT sekolah, pihak sekolah perlu berbincang dengan PPD dan menyatakan pendapat atau mengusulkan hasrat ingin melakukan penambahbaikan sistem pengajaran dengan menggunakan komputer dan melengkapkan pengurusan sekolah dengan menggunakan komputer. Panitia Bahasa Melayu perlu memainkan peranan penting dalam hal ini untuk memastikan Bahasa Melayu dapat diajar di sekolah dengan menggunakan kemudahan komputer terkini. Guru panitia perlu berbincang dan menyatakan kepentingan atau rasional PdP Bahasa Melayu menggunakan komputer kepada pihak PPD. Dalam pada itu, guru panitia juga perlu meminta kepada PPD agar mengemas kini sistem pengajaran Bahasa Melayu di mana perlu mewujudkan perisian-perisian dan laman-laman web yang pelbagai dalam internet yang berkaitan dengan Bahasa Melayu sekolah rendah. Hal ini dapat memudahkan guru dan murid untuk membuat rujukan dan melawat laman web tersebut untuk kegunaan PdP Bahasa Melayu. Dengan cara ini, guru Bahasa Melayu tidak perlu bersusah payah mencari dan menyediakan bahan yang perlu mengambil masa yang lama. Guru-guru boleh memanfaatkan dan menggunakan bahan yang terdapat dalam internet dengan mudah. Hal ini juga adalah untuk memudahkan segala urusan pengajaran guru dan masa juga dapat dijimatkan. Perkara ini juga menunjukkan sistem PdP Bahasa Melayu lebih cekap di mana mempunyai laman web sendiri dan orang ramai terutama guru dan murid dapat membuat rujukan. Hal ini juga akan membuatkan murid berasa kagum dan dapat menunjukkan Bahasa Melayu juga dapat diajar dengan menggunakan komputer. Perbincangan panitia dengan PPD ini amat penting agar PPD dapat memaklumkan kepada bahagian pendidikan yang lebih berkuasa atau pihak atasan. Hal ini menunjukkan kesungguhan para guru Bahasa Melayu untuk mengajar subjek ini dengan menggunakan komputer. Sekiranya boleh, panitia perlu mengusulkan untuk mewujudkan satu bilik khas Bahasa Melayu yang dibekalkan komputer untuk memperkemas cara mengajar subjek ini. Hal ini kerana untuk memudahkan guru Bahasa Melayu mengajar di mana tidak perlu lagi berebut-rebut dengan guru-guru lain untuk menggunagn bilik komputer sekolah. Sekiranya mempunyai bilik komputer sendiri, segala aktiviti atau program yang dirancang guru-guru Bahasa Melayu dapat dijalankan di situ. Contohnya, persembahan, teater, lakonan dan sebagainya dapat dilakukan di dalam bilik itu.
            Cara atasi yang kedua ialah perlu ada persidangan guru-guru Bahasa Melayu tentang penggunaan komputer dalam PdP. Faridah (1998), berpendapat bahawa guru-guru yang berjaya membentuk kumpulan-kumpulan kerja dapat bertukar-tukar maklumat tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan proses PdP. Dalam hal ini, guru-guru Bahasa Melayu boleh bekerjasama dalam satu kumpulan seperti membuat pemilihan, penilaian dan pembelian sesuatu program perisian. Guru Bahasa Melayu perlu mengadakan perbincangan atau persidangan dalam memastikan pengajaran Bahasa Melayu berjalan lancar dengan berbantukan komputer. Dalam perbincangan ini, semua guru boleh memberi pendapat atau cadangan untuk menambahbaik penggunaan TMK dalam PdP Bahasa Melayu. Panitia perlu mengarahkan kumpulan ini untuk mengadakan persidangan yang kerap. Melalui cara ini, setiap masalah yang dihadapi dalam PdP Bahasa Melayu dapat dibincangkan cara untuk mengatasinya serta penambahbaikan dapat dilakukan. Hasil perbincangan turut dapat disalurkan kepada PPD menerusi panitia bagi melakukan penambahbaikan terhadap penggunaan komputer di sekolah. Paling penting dalam persidangan ini, guru-guru Bahasa Melayu membentuk atau merancang perisian yang berkaitan dengan pengajaran bahasa Melayu. Piontek dan Garrock (1995), berpendapat bahawa beberapa aspek perlu diambil kira oleh guru apabila memilih maklumat yang terdapat dalam teknologi maklumat, terutamanya di dalam laman-laman web. Dalam konteks ini, guru-guru Bahasa Melayu harus tahu memilih dan menyesuaikan maklumat-maklumat dalam internet, laman web dan sebagainya sesuai untuk PdP Bahasa Melayu. Guru-guru perlulah menetapkan penggunaan perisian yang mana  dapat digunakan oleh guru dan murid-murid mudah mengikuti dan melaksanakan cara pengajaran seperti itu. Sekiranya sukar, murid tidak dapat melakukan dan mereka tidak akan berminat dengan pengajaran guru meskipun menggunakan komputer. Guru juga perlu berbincang tentang pembinaan bahan yang sesuai untuk mengajar Bahasa Melayu dengan menggunakan komputer. Bahan dan perisian tersebut perlulah sesuai dengan isi pelajaran, tahap umur serta kebolehan murid. Seharusnya guru menitikberatkan hal ini untuk menjamin keberkesanan PdP. Perbincangan sebegini seharusnya kerap diadakan misalnya seminggu sekali. Perbincangan ini penting untuk melihat perkembangan dan potensi murid dalam PdP Bahasa Melayu dengan menggunakan komputer. Perbincangan ini juga diadakan untuk meningkatkan kemahiran guru. Dalam perbincangan ini, guru diterang bagaimana hendak menggunakan setiap bahan dan perisian komputer dengan betul dan berkesan. Guru juga akan lebih faham serta mengetahui langkah-langkah yang betul dalam mengaplikasikan komputer dalam pengajaran mereka. Pendedahan sebegini penting dalam membuka mata dan meningkatkan kemahiran guru untuk mengajar. Guru kadang kala tidak tahu menggunakan perisian komputer sedangkan ia merupakan kemahiran yang asas. Contohnya, terdapat guru yang tidak tahu cara untuk menyimpan bahan. Perkara ini merupakan sesuatu yang asas. Sesungguhnya, segala maklumat dan kemahiran serta perkongsian bahan antara guru-guru, guru Bahasa Melayu dapat mengaplikasikannya dalam kelas dengan lebih baik daripada sebelumnya. Selain mengajar, persidangan guru-guru Bahasa Melayu penting untuk meningkatkan kualiti Bahasa Melayu berasaskan komputer. Dengan pengaplikasian komputer, guru-guru Bahasa Melayu dapat mengadakan program yang menarik berdasarkan subjek Bahasa Melayu dengan menggunakan komputer. Contohnya, program kreativiti dan inovasi. Guru boleh mencipta permainan kepada murid dengan menggunakan komputer.
            Cara atasi yang ketiga ialah guru besar perlu memainkan peranan mengarahkan guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer. Guru besar merupakan orang yang paling berkuasa di sekolah. Guru besar perlu memastikan pengajaran di sekolah sangat berkualiti. Guru besar juga seharusnya mendapat pendedahan sewajarnya tentang penggunaan ICT dalam PdP. Guru besar harus mematikan guru-guru Bahasa Melayu mengajar dengan menggunakan komputer, sekurang-kurangnya seminggu sekali. Guru besar perlu meninjau guru-guru Bahasa Melayu dalam pengajaran mereka. Guru besar perlu menyokong segala perancangan guru berkaitan pengajaran menggunakan komputer. Guru besar haruslah sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada guru agar lebih kreatif. Galakan daripada guru besar ini haruslah berterusan. Sebagaimana yang diketahui, guru-guru Bahasa Melayu jarang mendapat peluang masuk mengajar dalam bilik komputer kerana digunakan oleh guru-guru lain yang menganggap Bahasa Melayu tidak perlu menggunakan komputer. Di sinilah guru besar perlu membetulkan tanggapan yang salah itu. Bilik komputer seharusnya menjadi sebahagian daripada kelas guru Bahasa Melayu. Guru besar seharusnya tidak menetapkan prosedur yang ketat kepada guru Bahasa Melayu untuk masuk mengajar dalam bilik komputer. Prosedur yang terlalu ketat ini akan menyebabkan guru-guru berasa sukar untuk masuk bilik komputer. Guru besar perlu galakkan guru-guru untuk masuk makmal komputer dan memberi keutamaan kepada semua guru yang ingin mengajar di situ tanpa memilih mana-mana guru atau subjek-subjek tertentu. Guru besar perlu yakin dengan kebolehan guru-guru Bahasa Melayu untuk mengajar menggunakan komputer sekolah. Dalam mengarahkan guru Bahasa Melayu mengajar menggunakan komputer, guru besar perlu juga memastikan semua pihak atau pentadbir memberi sokongan kepada guru-guru Bahasa Melayu ini. Guru besar perlu mengenal pasti guru-guru yang mahir komputer dalam sekolah itu. Kemudian, menggalakkan guru tersebut untuk membantu dan mengajar guru Bahasa Melayu yang masih lemah menggunakan komputer. Dalam hal ini, guru-guru perlu saling membantu antara satu sama lain, berkongsi ilmu dan mencurahkan kepada guru-guru yang lain yang agak lemah. Guru perlu sedar bahawa rakan-rakan sejawat mereka amat memerlukan bantuan dalam melestarikan PdP yang berkesan dengan menggunakan komputer.
            Cara atasi yang keempat ialah guru perlu mengikuti kursus komputer. Guru Bahasa Melayu perlu mempunyai kesedaran untuk meningkatkan kemahiran dan penguasaan dalam TMK. Di Malaysia, terdapat banyak pusat belajar komputer yang disediakan untuk membantu orang ramai belajar komputer. Guru-guru perlu mengambil kesempatan ini dengan mengikuti kursus komputer. Guru dapat belajar beberapa perisian seperti Mocrosoft Word, Excel, Power Point dan sebaginya di situ. Guru dapat meluangkan masa untuk mengikuti kursus komputer di sebelah petang. Guru-guru dapat mengajar di sebelah pagi manakala sebelah petang mereka dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran komputer. Guru mendapat banyak manfaat dengan mengikuti kursus komputer. Ilmu ini juga dapat digunakan untuk melakukan kerja-kerja perkeranian seperti menaip, mencetak dan sebagainya. Selain itu, guru dapat mengaplikasikannya semasa mengajar dalam kelas. Contohnya, Power Point dapat guru gunakan untuk menerangkan sesuatu fakta atau apa-apa sahaja kepada murid. Guru juga tidak boleh bergantung kepada kursus itu sahaja dalam menambahkan kemahirannya tetapi guru perlu mempunyai inisiatif sendiri dalam meningkatkan kemahiran ICT. Guru perlu meningkatkan kemahiran ini dari semasa ke semasa. Untuk mengukuhkan kemahiran guru, guru perlu mempunyai komputer sendiri di rumah. Bagi mengukuhkan ilmu yang dipelajari, guru perlu mengaplikasikannya sendiri di rumah menggunakan komputer sendiri. Guru boleh belajar sendiri di rumah berdasarkan pengetahuan yang diperoleh semasa mengikuti kursus komputer. Guru juga harus selalu melakukan latihan sendiri di rumah. Sekiranya guru melakukan latihan setiap hari, guru akan mahir dan cekap menggunakan komputer. Sesungguhnya, amat penting untun seseorang guru itu mempunyai komputer sendiri bukan sahaja dapat digunakan untuk  melakukan kerja-kerja tertentu tetapi juga dapat gunakan untuk mengajar dalam kelas. Kursus komputer amat bermakna kepada guru-guru. Oleh itu, kerajaan perlu memperbanyakkan pusat-pusat pembelajaran komputer dengan menubuhkan di merata tempat untuk memudahkan orang ramai dan guru mempelajari kemahiran itu. Kerajaan juga perlu menyediakan tenaga pengajar yang terlatih dan berkualiti. Sekiranya tenaga pengajar adalah orang oang pakar, guru-guru akan mudah faham dan akan menjadi mahir dalam masa yang singkat. Apabila guru sudah mempunyai kemahiran ini, guru dapat mengaplikasikannya dalam kelas semasa mengajar.
            Cara atasi yang kelima ialah guru perlu mendorong murid untuk meminati TMK. Sebagaimana yang diketahui, murid mempunyai latar belakang keluarga yang berbeza. Terdapat murid yang daripada keluarga berada dan ada murid daripada keluarga miskin. Bagi golongan berada mereka sudah pasti terbiasa dan selalu menggunakan komputer. Berbeza dengan murid daripada keluarga miskin yang ibu bapa mereka tidak mampu membeli komputer. Jadi, disebabkan tidak pernah menggunakan komputer mereka berasa sukar dan menganggap komputer susah untuk digunakan. Hal ini menyebabkan mereka menjadi kurang minat terhadap komputer. Mereka tidak aktif dan tidak mahu melibatkan diri semasa PdP guru yang menggunakan komputer. Guru Bahasa Melayu tidak boleh membiarkan murid begitu sahaja dan menjadikan komputer sebagai benda asing kepada murid-murid yang tidak minat komputer. Pertama sekali, guru perlu menerangkan tentang kelebihan menggunakan komputer. Guru juga harus memberitahu murid bahawa banyak faedah diperoleh apabila menggunakan komputer dalam pembelajaran. Perkara penting yang perlu guru lakukan adalah menerapkan atau mengaplikasikan komputer semasa mengajar untuk membuktikan kepentingan komputer kepada murid-murid. Meskipun TMK berkesan dalam PdP, guru tidak boleh mengajar sewenang-wenangnya. Guru perlu menggunakan komputer untuk mengajar tajuk-tajuk berkaitan sahaja dan bersesuaian sahaja. Contohnya, guru ingin mengajar kemahiran membaca. Guru perlu memilih bahan yang sesuai dengan murid untuk menggunakan TMK. Guru boleh meminta murid mengakses internet dan mencari mana-mana petikan yang sesuai kemudian membacakan petikan tersebut. Kesesuaian isi pelajaran dengan aktiviti penting untuk membolehkan murid faham. Sekiranya guru menggunakan cara yang salah atau mengaplikasikan TMK tetapi tidak sesuai dengan isi pelajaran, murid akan berasa sukar untuk melaksanakan aktiviti tersebut dan akan membantutkan semangat murid tersebut. Guru seharusnya mengelakkan perkara ini daripada berlaku. Untuk mendorong murid minat komputer guru perlu kreatif. Kreatif ini bermaksud guru dapat menyediakan aktiviti-aktiviti menarik yang jarang dilakukan oleh guru lain. Bahasa Melayu sangat menarik jika diajar dengan cara dan teknik yang betul. Banyak aktiviti dapat dijalankan seperti bercerita, lakonan, nyanyian, berdialog, syarahan dan sebagainya. Untuk menyelitkan unsur TMK, guru boleh meminta murid membuka youtube dan melihat salah satu aktiviti misalnya video bercerita. Setelah murid faham, guru boleh meminta murid tersebut pula untuk bercerita. Guru dapat memikat murid untuk bergiat aktif dalam PdP yang menggunakan komputer ini.
            Cara atasi yang keenam ialah guru Bahasa Melayu itu sendiri seharusnya berkorban untuk mencapai hasil PdP yang berkesan. Hal ini merujuk kepada cara guru mengatasi masalah penggunaan internet. Terdapat beberapa sekolah yang internetnya tidak laju dan kadang kala mengalami masalah tiada internet langsung. Hal ini sudah tentu akan mengganggu tugas-tugas guru seperti mencari bahan dan menghantar sebarang maklumat kepada pihak lain. Dalam mengajar Bahasa Melayu, guru-guru sering merungut bahawa masalah internet merupakan punca Bahasa Melayu tidak dapat diajarkan menggunakan komputer. Sesetengah tajuk memerlukan guru mengajar dengan bergantung kepada kemudahan internet. Sekiranya pada hari tersebut internet bermasalah, segala perancangan guru menjadi sia-sia dan tidak dapat dilaksanakan. Contohnya, pada hari itu guru merancang untuk mengajar kata kerja. Guru telah merancang supaya murid mencari beberapa petikan daripada internet dan mengenal pasti kata kerja dalam petikan tersebut. Dengan masalah internet ini, guru tidak dapat melakukan semua ini dan guru terpaksa bergantung semula kepada buku teks. Oleh itu, sebagai guru kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kemudahan sekolah. Guru seharusnya menggunakan usaha sendiri di mana guru perlu berkorban sedikit wang ringgit demi anak-anak murid. Sekiranya internet di sekolah sering mengalami masalah dan guru tidak dapat mengajar menggunakan komputer, guru perlu menggunakan internet sendiri. Apa yang boleh dikatakan orang ramai pada hari ini kebanyakannya sudah mempunyai internet sendiri iaitu mereka melanggan internet seperti maxis, celcom, digi, YES dan sebagainya. Tidak terlepas insan yang bergelar guru. Kebanyakan guru juga mempunyai internet sendiri. Hal ini kerana internet pada hari ini bukan sahaja sebagai kehendak malahan sudah menjadi keperluan. Tambah-tambah individu yang berniaga secara online. Tanpa internet orang ramai tidak dapat hidup dengan sempurna. Jadi, cara terbaik yang perlu guru lakukan ialah membawa ‘broadband’ sendiri ke sekolah. Ini merupakan langkah terbaik dan tidak perlu mengganggu guru-guru lain. Sekiranya guru tidak dapat masuk makmal sekalipun, guru boleh mengajar menggunakan komputer dan internet sendiri. Guru tidak seharusnya bersikap kedekut. Terdapat guru yang kedekut untuk membawa broadband ke sekolah kerana takut kehabisan kuota sekiranya digunakan semasa mengajar. Mereka hanya mahu menggunakan untuk kepentingan peribadi sahaja. Guru harus membuang sikap ini dan perlu berkorban demi murid-murid.
            Selain itu, cara atasi masalah ini ialah pihak sekolah perlu memantau bilik komputer dari semasa ke semasa. Setiap aset yang terdapat di sekolah adalah sangat berharga. Semua warga perlu menjaga aset ini sebaik mungkin. Komputer merupakan alat teknologi yang mahal dan akan rosak sekiranya tidak dijaga dengan baik. Pihak sekolah perlu mengambil berat terhadap bilik komputer agar bilik tersebut dan keadaan komputer berada dalam keadaan yang baik dan sempurna pada setiap masa. Pihak pentadbir harus melantik seorang guru yang bertanggungjawab mengurus dan menjaga keselamatan dan keadaan bilik komputer. Guru tersebut dapat menyelia dan mengurus bilik tersebut serta dapat memastikan tiada kerosakan berlaku. Sebolehnya, pihak pentadbir perlu memilih guru yang pakar atau mahir dalam bidang IT. Hal ini penting supaya sesuatu masalah atau kerosakan komputer dapat dibaiki segera. Untuk penjagaan yang rapi sesebuah bilik komputer sekolah, pihak pentadbir perlu mencari beberapa juruteknik yang betul-betul pakar dalam bidang ini. Pihak sekolah perlu mengundang juruteknik beberapa minggu sekali untuk meninjau keadaan komputer sekolah. Hal ini penting kerana juruteknik yang dipilih semestinya pakar. Jadi, mereka dapat mengesan mana-mana komputer yang tidak dapat berfungsi dengan baik. Selain itu, juruteknik ini juga penting kerana mereka dapat mengesan alat-alat komputer yang perlu ditukar ganti. Langkah ini perlu untuk mengelakkan kerosakan yang lebih besar. Sekiranya perkara ini dapat dielakkan, sekolah dapat menjimatkan wang di mana wang tersebut dapat digunakan untuk perkara-perkara lain yang lebih penting. Selanjutnya, dalam memastikan komputer sekolah sentiasa dalam keadaan baik dan guru Bahasa Melayu dapat menggunakannya, guru yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan mengurus bilik tersebut perlu menetapkan beberapa peraturan keluar masuk bilik tersebut. Namun, peraturan tersebut jangan terlalu ketat sehingga menyukarkan dan merimaskan guru. Guru-guru Bahasa Melayu yang ingin menggunakan bilik tersebut perlu patuhi peraturan-peraturan yang disediakan. Guru juga perlu memastikan semua murid mengetahui peraturan bilik tersebut. Semasa PdP, guru perlu mengawal disiplin murid pada setiap masa. Hal ini penting untuk mengelakkan daripada berlakunya masalah disiplin seperti murid bergaduh dalam makmal komputer. Sekiranya berlaku pergaduhan, kemungkinan murid-murid akan merosakkan peralatan-peralatan komputer. Jadi, guru harus pastikan perkara seperti ini tidak berlaku semasa PdP. Setelah mengajar, guru juga perlu memastikan semua murid menutup kembali komputer dengan baik. Langkah terakhir yang perlu guru lakukan ialah meninjau setiap komputer untuk memastikan segala peralatan komputer berada dalam keadaan yang baik seperti awal dan tiada yang hilang.
            Di samping itu, cara atasi masalah ini juga ialah pihak kerajaan perlu menyediakan peruntukan yang sesuai kepada sekolah berkaitan kemudahan komputer. Seharusnya setiap sekolah diberikan peruntukan khas untuk kemudahan komputer daripada kerajaan. Pihak sekolah tidak dapat membangunkan atau menyediakan kemudahan ini tanpa bantuan kerajaan. Hal ini kerana ia memerlukan kos yang tinggi. Jadi, pihak kerajaan tidak boleh terlepas pandang dalam hal ini kerana kebanyakan sekolah terutama di bandar amat mementingkan kemudahan komputer dalam PdP termasuk mata pelajaran Bahasa Melayu. Kerajaan perlu menggerakkan dan membangunkan kemudahan ini di semua sekolah secara sama rata. Pada hari ini, teknologi komputer semakin berkembang dan terdapat banyak kelebihan yang lebih canggih daripada komputer sebelum ini. Teknologi dan kapasiti komputer hari ini lebih berkuasa tinggi berbanding komputer lama. Contohnya, mempunyai windows 8. Dalam memberikan peruntukan kepada sekolah, kerajaan perlu sedar akan perkembangan teknologi terkini. Maksudnya, kerajaan perlu menyediakan komputer yang terkini dan menukar komputer-komputer lama di sekolah yang sering rosak dengan komputer baru. Amat penting untuk kerajaan menyediakan teknologi komputer terkini kepada sekolah. Hal ini untuk memastikan murid tidak ketinggalan zaman dan dapat mengikuti perkembangan teknologi semasa. Sesungguhnya, guru dapat mengajar murid sesuatu pelajaran secara berkualiti dengan kemudahan komputer dan perisian yang lebih canggih dan menarik. Keadaan ini juga dapat membantu PdP Bahasa Melayu berjalan dengan lancar dan lebih menyeronokkan. Selain menyediakan komputer-komputer baru, kerajaan perlu memberi peruntukan kewangan kepada sekolah untuk membaiki mana-mana komputer yang rosak. Kerajaan perlu menjadi pendengar yang baik kepada pihak sekolah. Setiap aduan guru berkaitan masalah komputer perlu diambil tindakan segera. Kerajaan harus bersedia dalam mendengar dan mengatasi segala masalah yang dapat menyekat PdP yang menggunakan komputer. Sekiranya guru membuat aduan atau meminta peruntukan, kerajaan perlu memberi peruntukan yang sesuai kepada sekolah. Selain komputer, prasarana atau bilik komputer perlu diberi perhatian juga. Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kepada guru untuk memastikan keadaan makmal atau bilik komputer sentiasa baik dan sesuai untuk belajar TMK.
            Cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah mewajibkan pelajar mengikuti kursus komputer semasa dalam pengajian. Guru perlu pakar dalam semua bidang dan tidak boleh hanya menguasai sesuatu bidang sahaja. Begitu juga TMK, bidang ini seharusnya menjadi dekat dengan guru. Bagaimana caranya ialah guru perlu mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Sebagai langkah awal untuk menjana guru Bahasa Melayu yang mahir komputer dan mampu mengajar menggunakan komputer, kementerian pendidikan perlu menyediakan kursus atau mata pelajaran TMK kepada pelajar semasa berada di universiti atau IPG. Di IPG, pelajar major Bahasa Melayu perlu mengikuti kursus BMM3105 iaitu PdP Bahasa Melayu Berbantukan Komputer semasa di semester 3. Penetapan mata pelajaran ini penting dan merupakan langkah bijak pihak IPG dan pendidikan. Hal ini penting untuk melahirkan guru yang mahir komputer. Meskipun subjek Bahasa Melayu namun, PdP dapat diadun bersama TMK. Ini bukti bahawa subjek Bahasa Melayu merupakan salah satu subjek yang sesuai diajar menggunakan komputer di sekolah. Pembelajaran ini bukan hanya sesuai atau penting di IPG atau universiti. Dengan adanya subjek BMM3105, di samping guru pelatih belajar sesuatu topik mengikut proforma, pada masa yang sama pelajar dapat menerapkan ilmu TMK. Pembelajaran dengan cara ini lebih mudah dan menyeronokkan. Antara yang guru pelatih Bahasa Melayu belajar dalam kursus ini seperti membina blog, katalog internet, brosur, tapak pembelajaran dan sebagainya. Ilmu ini sangat penting dan apabila guru pelatih tamat belajar dan dihantar berkhidmat di sekolah, guru-guru dapat mengaplikasikan apa yang pensyarah ajar berkaitan komputer kepada murid-murid. Guru-guru Bahasa Melayu dapat mengajar murid sesuatu topik dengan menggunakan komputer secara berkesan. Guru pelatih perlu bersyukur dan berbangga kerana dapat mempelajari segala ilmu berkaitan komputer semasa di IPG. Ilmu ini bukan mudah untuk diperolehi di luar sana sewenang-wenangnya dan secara percuma. Dengan ilmu ini, guru dapat menurunkannya kepada anak murid pula. PdP akan bertambah menarik apabila guru-guru mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer. Selain itu, untuk melahirkan bakal guru yang celik IT, pihak IPG perlu mengetatkan lagi syarat kemasukan pelajar ke IPG. Semasa temu duga, pihak IPG perlu memilih pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dalam ICT terlebih dahulu sebelum memilih pelajar lain. Semasa temu duga juga, pihak IPG perlu meneliti segala sijil pelajar. Pelajar yang memiliki sijil komputer dan mempunyai kemahiran perlu diberi keutamaan. Hal ini bukan bermakna pihak IPG perlu mengetepikan pelajar-pelajar lain tetapi untuk mengutamakan pelajar yang mahir komputer terlebih dahulu kerana sekolah amat dahagakan guru yang mahir komputer pada hari ini. Semasa peringkat temu duga, panel boleh bertanyakan soalan-soalan berkaitan komputer kepada pelajar. Pelajar yang mahir komputer sudah pasti dapat menjawab segala soalan yang diajukan. Hal ini berbeza dengan pelajar-pelajar yang kurang mahir dalam ICT. Selain pelajar IPG, pelajar universiti juga penting untuk menguasai TMK terutamanya pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian pendidikan dan bakal menjadi guru. Pihak kementerian pendidikan perlu menetapkan kursus wajib kepada pelajar-pelajar universiti agar mereka mengambil dan mempelajari TMK sama seperti pelajar IPG. Dengan belajar TMK, mereka akan mahir dan tidak ada masalah untuk tidak tahu mengajar menggunakan komputer di sekolah nanti. Tidak dinafikan, kadang kala orang yang tidak belajar komputer secara langsung juga tahu menggunakan komputer. Inikan pula pelajar-pelajar universiti atau guru pelatih IPG. Selain itu, guru-guru yang mengikuti Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) juga diberikan pendedahan ini. Melalui program LDP, guru-guru diberi taklimat khas dan hands-on penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar oleh tenaga pengajar yang terlatih. Semasa mengikuti kursus LDP, guru-guru ini diajar mengenai penggunaan Microsoft Word, Microsoft Excel, pengurusan emel, blog dan sebagainya yang berkaitan. Guru juga telah diberi pinjaman untuk pemilikan komputer bagi meluaskan pengetahuan mereka tentang kemudahan dan penggunaan komputer dan ICT. Pihak kementerian menyarankan guru-guru mengambil inisiatif sendiri untuk membiasakan diri dengan penggunaan ICT. Dunia pendidikan hari ini begitu rancak dengan pengaplikasian komputer dalam PdP. Dapat dibuat kesimpulan bahawa guru-guru yang tidak mengajar komputer hanya memberikan alasan sahaja. Mereka sebenarnya tahu menggunakan komputer. Sukar dipercayai sekiranya pelajar-pelajar universiti dan IPG tidak mahir komputer. Hal ini kerana semasa mereka sedang mengikuti pengajian, segala tugasan disiapkan dengan menggunakan kemudahan komputer. Agak berbeza dengan zaman dahulu di mana tugasan perlu disiapkan dengan menulis sahaja oleh kerana tiada kemudahan komputer. Contohnya, pelajar IPG belajar selama lima tahun di IPG. Sepanjang lima tahun tersebut, guru pelatih menyiapkan tugasan, membuat pembentangan dan sebagainya dengan menggunakan komputer. Sama juga seperti pelajar universiti.
            Guru-guru Bahasa Melayu juga perlu menguasaan bahasa TMK iaitu bahasa Inggeris sebagai salah satu cara mengatasi masalah penggunaan komputer. Pengukuhan dan penguasaan Bahasa Inggeris perlu ditingkatkan oleh guru-guru Bahasa Melayu oleh kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa dominan dalam TMK. Kelemahan menguasai bahasa siber pasti akan menyukarkan proses pengajaran guru. Penggunaan bahasa TMK dapat membantu guru-guru Bahasa Melayu mengajar pelbagai kemahiran bahasa dan berbahasa seperti membaca, menulis, tatabahasa, ayat dan lain-lain yang semuanya menuntut guru Bahasa Melayu memahami istilah-istilah yang terdapat dalam teknologi maklumat. Justeru, guru perlu mempertingkatkan keupayaan menguasai bahasa siber terutamanya Bahasa Inggeris yang dominan dalam TMK. Selain itu, guru-guru Bahasa Melayu perlu juga menguasai istilah-istilah bahasa siber seperti yang terdapat dalam Kamus Komputer (1995). Amat rugi sekiranya guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar di sekolah atau guru-guru Bahasa Melayu yang mengajar menggunakan komputer atau internet tidak  tahu menggunakan komputer, bahasa komputer dan sebagainya.
            Penglibatan dan peranan Dewan Bahasa dan Pustaka amat penting sebagai cara mengatasi masalah guru mengajar Bahasa Melayu menggunakan komputer. Selain daripada teras membangunkan korpus bahasa, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka telah memainkan peranan penting dengan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa tertentu sebagai jentera penggerak dalam rancangan pengembangan bahasa sektor swasta. Kegiatan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka boleh diperkukuhkan lagi dengan peranan yang lebih aktif bersama-sarna dengan pihak luar seperti Kementerian Pelajaran. Antara usaha yang boleh dilakukan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah menerbitkan pelbagai buku berkaitan dengan bahasa TMK untuk kegunaan guru-guru di sekolah termasuk guru Bahasa Melayu seperti kamus-kamus pelbagai jenis, istilah dan pedoman ejaan dan lain-lain sumber merupai bahan rujukan untuk mempergiatkan penggunaan Bahasa Melayu oleh guru-guru di sekolah. Peranan yang dimainkan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka dalam usaha mengeluarkan pelbagai penerbitan dengan harga yang berpatutan adalah menggalakan. Sebagai pengguna bahasa kita juga harus bersyukur atas usaha pihak Dewan Bahasa dan Pustaka mengemaskinikan penerbitan-penerbitan tersebut dari semasa ke semasa.

            Kesimpulannya, banyak punca yang telah dikenal pasti yang menjadi masalah atau kekangan kepada guru-guru Bahasa Melayu untuk mengajar menggunakan komputer. Sebenarnya, kebanyakan punca atau masalah tersebut telah disedari dan ia bukan masalah baru tetapi isu ini telah lama timbul dan hanya dipandang remeh sahaja. Kita perlu sedar bahawa sekiranya tiada tindakan atau kesedaran untuk mengubah cara pengajaran mengikut masa kini yang terdedah kepada TMK, kita akan ketinggalan dan sistem pendidikan kita akan berada di tahap yang lama. Kita semua perlulah melakukan anjakan paradigma terutamanya golongan pendidik dalam membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia tanpa tidak ketinggalan dalam bidang IT. Anjakan sebegini penting dilakukan dalam dunia pendidikan demi melahirkan modal insan yang cemerlang dan celik IT. Justeru, semua pihak haruslah berganding bahu dan bertungkus lumus mengatasi masalah-masalah yang menjadi kekangan kepada guru untuk mengaplikasikan TMK dalam pengajarannya. Guru itu sendiri perlu sedar dan berubah serta perlu sentiasa meningkatkan kemahiran TMK agar menjadi insan yang pakar dan berkebolehan mengaplikasikannya di dalam kelas. Keberkesanan PdP terletak pada bahu seseorang guru. Jadi, guru perlu membuktikan kepada semua bahawa TMK amat penting diaplikasikan dalam PdP serta membuktikan bahawa Bahasa Melayu sebenarnya amat sesuai diajar dengan menggunakan komputer.  

Sunday 6 April 2014

MINGGU 15 : Seminar Dan Pameran TMK Dalam Pengajaran Bahasa Melayu Dekad Kini Dan Mendatang

 Apa Itu Seminar?



1) Contoh Seminar P&P Bahasa Melayu Berbantukan Komputer:


Antara Hasil BBM Berbantukan Komputer;



Contoh Borang Pemarkahan Pertandingan Seminar P&P berbantukan Komputer


ii) Apa Itu Pameran?


Jenis-jenis pameran:
BIL
PERKARA
HURAIAN
1
Pameran tetap
Pameran yang dijalankan tanpa melakukan perpindahan tempat
2
Pameran Temporer
Pemeran yang diadakan buat sementara waktu iaitu mempunyai satu tempoh masa yang ditetapkan
3
Pameran Keliling
Pameran yang dijalankan dengan secara mengelilingi sesuatu tempat tanpa mengira waktu yang tetap.